BH: Selangor diperlekeh Sanusi, MB didakwa biadab dengan Azmin Ali, ini jawapan Amirudin Shari
GOMBAK: Jumaat lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata, beliau yakin negeri diterajuinya itu mampu menjadi paling maju sekiranya ia berada berhampiran Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Pengerusi PN Kedah itu mengeluarkan kenyataan demikian ketika menegaskan, Selangor tidak boleh dijadikan model negeri Pakatan Harapan (PH) paling berjaya kerana pemerintahan yang bijak.
Katanya lagi, Selangor hanya menumpang tuah Kuala Lumpur dan Kedah juga boleh menjadi maju jika ibu negara terletak berhampiran negeri berkenaan.
Membalas kenyataan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengibaratkan rakan sejawatnya itu 'tidak pernah melihat cermin'.
"Kedah berada di sebelah Pulau Pinang (negeri maju), tapi begitu juga keadaannya ketika ini. Pulau Pinang ada di sebelah (Kedah) sahaja, apa impaknya di negeri itu (Kedah).
"Jadi jangan fikir begitu (Kedah boleh maju jika bersebelahan Kuala Lumpur). Dia (Muhammad Sanusi) tak pernah tengok cermin.
"Jadi, sebelum nak bertolak ke Selangor, lalu di tepi Pulau Pinang, (kalau) dia nampak cermin, tengoklah muka," katanya pada sidang media selepas pelancaran 'MADANI Afiat, Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0' dan 'One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023', di sini hari ini.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor dan Naib Presiden PKR, berkata Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada Selangor yang berjaya menjadikannya bandar satelit pada 1970-an dan mendapat limpahan kemajuan disebabkan kedudukannya yang strategik.
"Selangor berkembang (maju) lebih jauh dan kedudukan ekonominya lebih tinggi berbanding Kedah yang masih menyumbang hanya bawah lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Dia perlu persoalkan diri sendiri sebelum tengok tempat lain. Inilah masalah dia, mata dia besar di tempat lain, tapi tak tengok masalah dan tempat sendiri," katanya.
Amirudin juga menjawab dakwaan bahawa beliau biadap dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga 'sifu' politiknya dan bekas pemimpin negeri serta parti, ketika saling berbalas kenyataan, termasuk apabila merujuk bekas Timbalan Presiden PKR itu dengan nama 'Min'.
"Itu hanya pandangan peribadi daripada individu yang berkenaan (membuat dakwaan). Saya hormat apa jua pandangan daripada pelbagai pihak.
"Jangan tengok kenyataan saya sahaja, kena tengok kenyataan yang awal (dikeluarkan Mohamed Azmin) kenapa saya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
"Hormat menghormati itu biasa, bukan hanya yang muda harus menghormati yang tua, tetapi yang tua juga perlu menghargai," katanya.
Katanya lagi, hujah perlu dijawab dengan hujah, bukannya membangkitkan hal peribadi dan bercakap dengan kasar.
"Hujah kalau tidak dijawab dengan hujah, maka dia persoalkan benda peribadi, cakap kasar, cakap tak betul," katanya.