Media

Peristiwa
14/2/24
Selangor

BH Online: 10 lokasi panas kecurian benih kerang dikesan di Selangor

PELABUHAN KLANG: Selangor sudah mengenal pasti 10 lokasi panas berlaku kejadian kes kecurian kerang dan benih kerang termasuk di Sungai Haji Dorani, Assam Jawa dan Bagan Tengkorak.

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bagi menangani isu kecurian benih kerang di kawasan terbabit, pos pangkalan hadapan di pesisiran Kuala Selangor dan Sabak Bernam bakal diwujudkan.

"Kita kenal pasti beberapa langkah penguatkuasaan bagi mengatasi masalah itu termasuk pelaksanaan kaedah tertentu, antaranya mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan tempat pemantauan dan persinggahan agensi penguatkuasaan.

"Polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semuanya berada di Pelabuhan Klang, sedangkan jaraknya dengan jeti Bagan Nakhoda Omar (Sabak Bernam) kira-kira 60 batu nautika.

"Jadi, kita kenal pasti satu pos pangkalan akan dibuat di Kuala Selangor dan Sabak Bernam, dari Sungai Air Tawar sampailah ke Sekinchan, kalau dua (pangkalan) pun bagus sebab kedua-dua lokaliti ini ada penumpuannya," katanya pada sidang media di Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah selepas meninjau perairan pantai barat Selangor dari Sabak Bernam sehingga ke Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, langkah mewujudkan pos pangkalan juga bertujuan membanteras penggunaan bubu naga yang mengancam ekosistem perikanan dengan kerjasama agensi berkaitan.

"Sepanjang tinjauan tadi, mereka tidak lagi menggunakan bancang atau pelampung untuk mengambil bubu, sebaliknya menandakannya dengan sistem kedudukan sejagat (GPS)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti aset dan peralatan sesuai bagi pemantauan di kawasan kecurian benih kerang.

"Kita kenal pasti mesin dan peralatan sebab aktiviti kecurian kerang serta benih kerang ini dibuat di kawasan berlumpur yang tidak boleh diakses bot biasa.

"Kalau kita guna peralatan sama, maknanya kita hancurkan habitat kerang dan semua habitat lain yang ada di kawasan terbabit, jadi kita sedang kenal pasti beberapa langkah susulan.

"Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan ambil tindakan supaya dapat elak aktiviti kecurian kerang daripada berterusan seperti dilaporkan," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan melaksanakan dasar pelepasan sifar bagi mengatasi isu pencemaran yang didakwa menjejaskan pembenihan kerang di kawasan Kampung Tok Muda Kapar, Klang.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.