Media

Peristiwa
22/12/23
Selangor

BERNAMA: ANUGERAH BUKU NEGARA 2023: KSN, MB SELANGOR TERIMA ANUGERAH PERDANA

TANJUNG MALIM, 21 Dis (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari merupakan antara penerima anugerah utama pada majlis Anugerah Buku Negara 2023 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Mereka antara 11 penerima anugerah utama yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis tersebut.

Pada majlis hari ini juga, Anwar melancarkan Ensiklopedia: Menyingkap Rahsia Sains & Teknologi dalam Al-Quran.

Mohd Zuki menerima Anugerah Perdana: Tokoh Kepimpinan ProliYk Dalam Memartabatkan Buku Negara dengan penerbitan buku yang berjudul G.R.E.A.T., sementara Amirudin pula menerima Anugerah Perdana: Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Negara.

Amirudin berkata anugerah yang diterimanya itu merupakan satu pengiktirafan kepada Selangor kerana usaha negeri itu melaksanakan beberapa program seperti penterjemahan karya-karya agung yang diterbitkan lebih daripada 60 judul, selain penglibatan aktif Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor dalam pesta buku yang dianjurkan.

“Ini bukan kemenangan peribadi tetapi satu pengiktirafan kepada negeri Selangor yang mempunyai projek pencerahan rakyat melalui buku terjemahan karya-karya agung melalui distribusi buku yang kita laksanakan,” kata Amirudin ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut.

Anugerah Buku Negara merupakan majlis berprestij yang dianjurkan untuk mengiktiraf dan menghargai warga kerja buku di sebalik tabir industri penerbitan Malaysia, selain sebagai usaha meningkatkan mutu penerbitan judul dan karya baharu serta menyemai budaya menulis dan membaca masyarakat.

Tahun ini majlis anugerah itu menerima penyertaan sebanyak 500 naskhah buku daripada lebih 50 penerbit membabitkan 43 pemenang.

Anugerah Perdana: Tokoh Cendekiawan Ulung Alam Melayu Dalam Memartabatkan Buku Negara pula dianugerahkan kepada Datuk Prof Emeritus Dr Osman Bakar dengan penerbitan buku berjudul Knowledge, Tradition And Civilization – Essays In Honour Of Professor Osman Bakar.

Anugerah perdana lain melibatkan Penerbit ProliYk (Syarikat Di Bawah Agensi Kerajaan) yang diterima Institut Kefahaman Islam Malaysia, Anugerah Khas Perdana: Rakan Strategik Terbaik Dalam Memartabatkan Industri Buku Negara (Majlis Profesor Negara) dan Anugerah Khas: Penggerak Industri Buku Negara (Majlis Buku Kebangsaan Malaysia).

Anugerah Perdana: Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan) disampaikan kepada Dewan Bahasa dan Pusataka, manakala Penerbit ProliYk (Badan Bukan Kerajaan) diterima Angkatan Belia Islam Malaysia Press; Penerbit ProliYk (Penerbit Universiti) Pejabat Karang Mengarang daripada UPSI; Buku Mewah Terbaik (Buku 30 Techno Dreams - MTDC (Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia) dan Penerbit ProliYk (Swasta) yang diterima Telaga Biru Sdn Bhd.

-- BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.