Suara

Peristiwa
20/6/23
Selangor

Berita Harian: 'Umum tarikh bubar DUN dahului Sultan Selangor tak beradab'

SHAH ALAM: Tindakan pihak tertentu mendahului Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dianggap bertentangan dengan adab orang Melayu terhadap pemerintah negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perkara itu juga disifatkan tidak wajar kerana kerajaan negeri mempunyai adat istiadat dan persetujuan secara kolektif dalam melaksanakan istiadat pembubaran dengan panduan daripada pihak istana.

"Kita ada undang-undang, adat istiadat dan konvensyen yang harus ditepati. Bagi saya adalah tidak wajar mana-mana pihak mendahului Sultan Selangor dalam mengumumkan tarikh pembubaran DUN Selangor.

"Ia dikira bertentangan dengan konvensyen, adat istiadat dan lebih lagi adab masyarakat Melayu terhadap Sultan Selangor," katanya pada sidang media khas di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika berceramah pada kempen parti itu di Tanjong Karang memaklumkan DUN Selangor akan dibubarkan pada 19 Jun (hari ini).

Amirudin berkata, beliau diterima menghadap Sultan Sharafuddin pagi semalam bagi memohon perkenan baginda supaya DUN Selangor yang ke-14 dibubarkan pada Jumaat ini.

Beliau berkata, Sultan Selangor memberi perkenan dan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor ke-14 yang akan berkuat kuasa pada Jumaat ini selaras Peruntukan Fasal (2) Perkara LXX, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

"Ini bagi membolehkan Speaker DUN Selangor memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan pada Jumaat ini," katanya.

Selangor adalah negeri keempat yang mengumumkan tarikh pembubaran DUN bagi memberi ruang kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada awal Ogos ini.

Sebelum ini, Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran DUN masing-masing, manakala dua lagi negeri iaitu Kedah dan Terengganu masih belum berbuat demikian.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.