Media

Peristiwa
24/2/23
Selangor
Negara

Berita Harian: Taklimat ekonomi, keselamatan, pertahanan negara dipersembahkan - Mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 hari ini dipersembahkan dengan taklimat penting mengenai kedudukan semasa ekonomi, keselamatan dan pertahanan negara.

Taklimat berkenaan masing-masing disampaikan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli,Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan, berkata mesyuarat itu turut menyentuh mengenai pelantikan beberapa jawatan penting.

"Perkara mengenai pelantikan telah pun dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan iaitu pelantikan hakim-hakim Mahkamah Atasan, ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Timbalan Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan juga beberapa perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Hari kedua mesyuarat berkenaan yang berlangsung di Istana Negara telah dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke mesyuarat berkenaan dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan sama turut memaklumkan, pada hari pertama mesyuarat, semua Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri hadir.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Perlis diwakili Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat selama dua hari bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 November lepas yang dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.