Media

Peristiwa
15/4/24
Selangor

Berita Harian: Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza kutip lebih RM2 juta

SHAH ALAM: Lebih RM2 juta berjaya dikutip, setakat ini, melalui Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza yang merupakan inisiatif Kerajaan Selangor untuk membantu membangunkan semula wilayah Gaza di Palestin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri menyasarkan kutipan RM8.7 juta untuk dimanfaatkan melalui pelaksanaan beberapa projek pembangunan seperti pembinaan Apartmen Darul Ehsan, Masjid Darul Ehsan dan Menara Tangki Air Darul Ehsan di Gaza.

Dalam video ucapan sempena Aidilfitri melalui Facebook beliau, Amirudin sekali gus menzahirkan perasaan kagum dengan sikap pemurah masyarakat yang menyokong inisiatif kerajaan negeri membangunkan semula wilayah itu.

"Semoga semangat keinsanan dan kemanusiaan yang tinggi ini akan terus mekar dalam diri kita, tidak hanya terhad di dalam negeri dan lokaliti kita ataupun orang yang kita kenali, sebaliknya dengan semangat kemanusiaan sejagat yang membawa kemakmuran serta kebahagiaan," katanya.

Pada 28 Mac lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan melancarkan tabung itu.

Baginda turut menerima sumbangan dana umat Islam Selangor berjumlah RM1.2 juta, Majlis Agama Islam Selangor (RM200,000) serta sumbangan peribadi Amirudin (RM50,000) untuk disalurkan ke dalam tabung berkenaan.

Dalam pada itu, Amirudin berharap Ramadan yang baru berlalu berjaya memberikan kesan terhadap jiwa dan perilaku setiap individu, sekali gus diterjemahkan dalam kehidupan harian. – BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.