Media

Peristiwa
16/2/24
Selangor
Perayaan

Berita Harian: Sultan Selangor, Tengku Permaisuri hadir sambutan Tahun Baharu Cina 2024

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dijangka hadir sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri pada 24 Februari ini.

Majlis itu diadakan di Foyer Symphony 3, IOI City Mall bermula jam 10 pagi hingga jam 6 petang dan dijangka dimeriahkan dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta isteri, barisan EXCO kerajaan negeri, ketua jabatan dan wakil kedutaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, berkata majlis berkenaan bakal menyaksikan persembahan kebudayaan seperti gabungan pelbagai jenis tarian tradisional Malaysia seperti tarian naga, tarian singa, gamelan dan drum serta okestra yang melambangkan sebahagian daripada warisan dan budaya tradisional di Malaysia.

Katanya, bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan ini, tradisi penyampaian sumbangan 'angpow' kepada kanak-kanak bawah umur 12 tahun dan pemberian limau akan turut diadakan.

"Program bertemakan 'Perayaan Muafakat' bakal menyaksikan lima persembahan utama membabitkan pengarah seni tempatan, Anthony Meh yang akan mengetuai kumpulan tarian Dua Space Dance Theatre dalam mengatur dan membuat koreografi persembahan.

"Selain itu, artis dan kumpulan yang mengambil bahagian dalam persembahan bersama-sama termasuk ASK Dance Company, Vehaara Arts Dance Studio, VIVO Experimental Orchestra, Souls Impact, Khuan Loke Dragon & Lion Dance Association dan Yu Hua Dragon & Lion Dance Association-Kajang.

"Pra-persembahan dan persembahan utama dijangka berlangsung selama 45 minit," katanya pada sidang media di Invest Selangor Berhad di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris

Beliau berkata, antara pengisian lain disediakan adalah bengkel dan aktiviti dibahagikan kepada empat kawasan merujuk kepada empat unsur asas kehidupan seharian iaitu pakaian, makanan, perumahan dan pengangkutan.

"Orang ramai yang bercadang menghadiri lokasi sambutan boleh menggunakan pengangkutan awam perkongsian kenderaan-Van DRT (Demand-Responsive Transit) Mobiliti Selangor yang tersedia untuk membawa penumpang dari 60 lokasi sekitar Serdang ke IOI City Mall dengan caj serendah RM2.

"Muat turun aplikasi 'Trek App' untuk mendapatkan jadual lokasi dan waktu operasi Van DRT Mobiliti Selangor ketika sambutan perayaan berkenaan di Apple App Store dan Google Play Store," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.