Inisiatif

Peristiwa
10/2/23
Isu
Selangor

Berita Harian: Sultan Selangor seru KKM lihat keperluan fasiliti kesihatan secara menyeluruh

TANJONG KARANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melihat keperluan fasiliti kesihatan di negeri itu secara menyeluruh, khususnya di hospital.

Sultan Selangor bertitah, dengan jumlah penduduk negeri itu yang kini melebihi tujuh juta orang dan paling ramai di Malaysia, ia memerlukan fasiliti kesihatan yang banyak dan dilengkapi kemudahan peralatan terkini.

"Perkhidmatan kesihatan di hospital perlulah mempunyai sistem pengurusan yang baik dan dikelolakan dengan cekap supaya ia dapat menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan di Selangor.

"Perkara ini juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat," titah baginda sempena perasmian Hospital Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan pembinaan Hospital Tanjong Karang baharu itu, yang memulakan operasinya pada 10 Oktober lalu.

"Dengan adanya hospital ini, dapatlah penduduk di sekitar kawasan ini menerima kemudahan dan akses kepada perkhidmatan perubatan yang lebih baik dan berkesan. Harapan beta, ia dapat meredakan beban rakyat, khususnya di daerah Kuala Selangor," titah baginda.

Sultan Selangor juga menyeru petugas hospital dan institusi kesihatan supaya lebih bertoleransi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan mendepani pelbagai kerenah serta keperluan pesakit dan keluarga mereka.

Baginda turut menyeru penduduk Selangor untuk mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan kedua bagi mendapat perlindungan optimum daripada COVID-19.

Selain itu, baginda juga menyeru rakyat untuk tidak mengasingkan atau meletakkan stigma kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan melampau.

"Beta turut menyeru individu yang mengalami masalah kesihatan mental untuk merujuk kepada pakar perubatan bagi mendapatkan rawatan sewajarnya," titah baginda. - BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.