Berita Harian: SIDEC umum tiga pemenang Selangor Fashion Accelerator
KUALA LUMPUR - Selangor Fashion Accelerator (SFA) 2022 yang julung kali diadakan akhirnya melabuhkan tirai dengan majlis pengumuman pemenang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), program itu menyaksikan Kalima Textile mengungguli pertandingan dengan memenangi wang tunai bernilai RM6,000 serta pameran My Gaya Month bernilai RM10,000.
S.leapita dan BatikTEKTURA masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga sekali gus membuktikan peserta mampu berkembang dalam industri fesyen apabila diberikan peluang yang tepat.
Majlis Hari Demo disempurnakan oleh Datin Seri Masdiana Muhamad, isteri kepada Dato' Menteri Besar Selangor merangkap Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).
Kesemua enam peserta telah bersaing dalam pembentangan bertemakan "Modest Fashion" yang memberi fokus pada pakaian sederhana sedia-untuk-dipakai (RTW) dengan sentuhan elemen moden dan minimalis di hadapan tujuh panel juri.
Selain itu, program ini juga mendapat sokongan besar daripada ikon muzik dan ahli perniagaan terkenal Malaysia, Dato' Seri Siti Nurhaliza dan usahawan fesyen terkenal yang lain seperti Rasta Rashid, Leslie Variyan dan Wong Lee Leng.
Selangor Fashion Accelerator merupakan program pertama kali diperkenalkan oleh Sidec bagi mencungkil bakat pereka fesyen busana sopan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Seramai 16 usahawan atau jenama fesyen tempatan disenarai pendek untuk menjalani program intensif selama dua bulan melalui bimbingan cemerlang daripada mentor yang berpengalaman dalam komuniti dan bengkel yang komprehensif.
Lebih 80 pemohon mendaftar untuk program Selangor Fashion Accelerator ketika ia dilancarkan dan hanya 16 peserta yang telah disenarai pendek.
Bagaimanapun, hanya enam peserta yang terbaik telah dipilih untuk mara ke peringkat akhir iaitu Hari Demo bagi mempamerkan tiga rekaan daripada koleksi mereka.