Suara

Peristiwa
5/10/23
Isu
Selangor

Berita Harian: Selangor tiada niat terokai unsur nadir bumi - Amirudin

SHAH ALAM: Selangor tiada niat untuk meneroka bahan nadir bumi (REE) sebagai sumber pendapatan walaupun dimaklumkan terdapat unsur berkenaan di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata dasar kerajaan negeri adalah konsisten sejak 2017 yang mana ketika ini, Selangor tidak ada minat untuk menerokai bahan mentah berkenaan walaupun kerajaan Persekutuan kini membenarkan kerajaan negeri membuat penerokaan awal REE. ,

"Kita belum ada minat dan niat untuk teroka REE tetapi SOP tetap kena buat kalau kita nak teroka, kalau ada cubaan (untuk meneroka REE) kita akan ambil tindakan sewajarnya.

"Setakat ini Selangor belum ada keputusan dan belum lagi berminat untuk teroka REE sebagai sumber pendapatan walaupun kita dimaklumkan bahawa bahan itu terdapat di Selangor," katanya pada sidang media di Foyer SUK, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, kebenaran untuk kerajaan negeri membuat penerokaan awal REE, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang berlangsung semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan pembentangan Belanjawan 2024 negeri ini dijangka dibuat pada pertengahan bulan depan.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.