Inisiatif

Peristiwa
8/3/24
Selangor

Berita Harian: Selangor lulus 75 projek industri teknologi maklumat, telekomunikasi, RM5.42 bilion nilai pelaburan tahun lalu

SHAH ALAM: Selangor meluluskan sebanyak 75 projek bagi industri teknologi maklumat dan telekomunikasi (Information & Communications) dengan nilai pelaburan berjumlah RM5,416,293,265 atau RM5.42 bilion dari Januari hingga September tahun lalu, di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, berkata dari jumlah itu sebanyak RM3.27 bilion adalah pelaburan tempatan dan sebanyak RM2.15 bilion pelaburan asing.

Menurutnya, menerusi projek itu sebanyak 4,940 potensi peluang pekerjaan sudah diwujudkan.

"Industri ini menyumbang sebanyak 22 peratus kepada jumlah pelaburan dalam sektor perkhidmatan di Selangor.

"Berdasarkan trend semasa, pelaburan dalam industri ini menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan di mana industri merekodkan pertumbuhan 5 peratus pada suku pertama tahun 2023.

"Kemudian meningkat kepada 15 peratus pada suku tahun kedua dan peningkatan sebanyak 39 peratus pada suku tahun ketiga tahun 2023," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) meminta penjelasan sejauh mana ekonomi digital menyumbang kepada prestasi ekonomi dan pelaburan di Selangor serta usaha pembangunan ekonomi digital.

Sze Han berkata, pertumbuhan yang positif itu menggambarkan sektor ekonomi digital adalah sektor yang perlu diberikan penekanan bagi memastikan perkembangan ekonomi yang mampan di Negeri Selangor.

Dalam pada itu beliau menjelaskan usaha kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi digital terangkum dalam penyediaan polisi serta perlaksanaan inisiatif yang di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS1).

"Agensi khusus diwujudkan di bawah kerajaan negeri yang berperanan merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif digital di negeri Selangor seperti penubuhan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

"SSDU memberi tumpuan kepada pembangunan inisiatif bandar pintar yang meningkatkan kualiti hidup penduduk dan menggalakkan pembangunan ekonomi digital.

"Dengan memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT), analitik data besar ('big data analytics') dan kecerdasan buatan (AI), SSDU menyasarkan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan kecekapan dan mencipta persekitaran kondusif bagi memacu ekonomi digital.

"Beberapa program dilaksanakan dan masih dilangsungkan sehingga kini seperti Smart Selangor SME Platform bertujuan memacu pertumbuhan dan peningkatan prestasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Selangor melalui automasi pengurusan dan operasi perniagaan, pemasaran digital dan juga e-dagang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) berperanan membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam menyediakan latihan berkaitan dalam ekonomi digital.

"Antara program yang dilaksanakan seperti Selangor Accelerator Program yang memfokus kepada usahawan start-up ke arah pengkomersilan hasil inovasi dan eCommerce Accelerator Program yang membantu usahawan meneroka dan menembusi pasaran global," katanya.

Bagaimanapun, katanya antara cabaran yang dihadapi dalam pembangunan sektor ekonomi digital di Selangor seperti kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor ekonomi digital.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.