Suara

Peristiwa
25/3/24
Selangor
Isu

Berita Harian: Selangor lakukan pemeriksaan, pastikan stoking kalimah Allah tidak lagi dijual

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melakukan pemeriksaan terhadap premis jualan lain bagi memastikan stoking tertera kalimah Allah tidak lagi berada dalam pasaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pelaksanaan tindakan itu melibatkan kerjasama antara pejabat EXCO agama Islam Dr Fahmi Ngah danEXCO Kepenggunaan Datuk Rizam Ismail.

"Kita sudah bincang dan usaha penguatkuasaan itu untuk menyemak supaya tak ada lagi di pasaran (stoking). Kita akan ke KK Mart untuk melihat bekalan mereka dan juga tempat lain.

"Ini susulan laporan di Johor, terdapat (penjualan stoking) di premis lain. Jadi kita nak periksa adakah bekalan stoking ini masih ada," katanya ditemui selepas Majlis Marhabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pihaknya juga akan memanggil pengurusan kedai serbaneka berkenaan bagi mendengar penjelasan lanjut.

"Perlu ikhlas dan jujur minta maaf. Mereka kena bertanggungjawab dengan (isu) stoking berkenaan dan pastikan tiada lagi barang-barang yang mengganggu dan melukakan hati umat Islam," katanya.

Pada 16 Mac lalu, media melaporkan pengurusan tertinggi KK Super Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya sebelum tular di media sosial.

Insiden berkenaan mendapat perhatian pelbagai pihak malah kilang yang terbabit dalam pengedaran stoking berkenaan di Batu Pahat, Johor menutup operasinya pada Rabu lalu.

Kilang berkenaan turut memasang kain rentang dipagar utama yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia susulan insiden terbabit.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.