Inisiatif

Peristiwa
22/12/22
Isu
Selangor

Berita Harian: Selangor keluar garis panduan perkhemahan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri sedang merangka garis panduan khusus untuk aktiviti perkhemahan, susulan runtuhan cerun di Batang Kali, Hulu Selangor yang mengorbankan 26 mangsa, setakat ini.

Bagi tujuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan negeri, Ng Sze Han, berkata kerajaan negeri akan menyegerakan bancian ke atas aktiviti berkenaan di seluruh Selangor.

Katanya, bancian juga bagi mengenal pasti tempat aktiviti dan menentukan kawasan sensitif alam sekitar, tempat tidak sesuai serta berisiko untuk riadah.

Beliau berkata, ketika ini pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai syarat khusus bagi aktiviti tapak perkhemahan kerana itu kegiatan sampingan dijalankan oleh pemilik hotel atau pusat peranginan.

"Bancian juga bagi mengenal pasti lokasi aktiviti dalam melihat kawasan sensitif alam sekitar, tempat tidak sesuai serta berisiko untuk aktiviti rekreasi.

"Kerajaan negeri juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh aktiviti rekreasi dan perkhemahan seperti pengusaha, persatuan-persatuan rekreasi dan perkhemahan serta agensi-agensi kerajaan.

"Semua dapatan ini akan membantu kerajaan negeri merangka garis panduan supaya aktiviti perkhemahan dan rekreasi dapat dijalankan dengan selamat dan tidak memudaratkan mana-mana pihak," katanya di sini hari ini.

Sze Han berkata, bancian sudah bermula dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

"Bancian mendapati, setakat ini 61 tapak perkhemahan di bawah kawasan pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) termasuk berlesen, secara haram dan menceroboh tanah kerajaan.

"Bancian ini sejak 2018 dan akan mengemas kini data ini bukan sahaja di MDHS malah seluruh Selangor.

"Hanya pengusaha yang patuh kepada garis panduan akan diperakui oleh PBT dan Tourism Selangor untuk menjalankan aktiviti berkenaan," katanya.

Beliau juga mengulas mengenai dakwaan pengusaha tapak perkhemahan Father's Organic Farm yang mereka tidak dapat membuat permohonan lesen operasi berkenaan kerana permit sedemikian memang tidak pernah wujud.

"Saya rasa sekiranya tiada 'spesific rule' atau kategori boleh memohon, dia harus gunakan 'common rule' iaitu memohon lesen perniagaan.

"Namun didapati, mereka (Father's Organic Farm) tiada lesen perniagaan sebaliknya cuma ada Kebenaran Merancang (KM) untuk pembangunan pusat peranginan dan taman botani hingga Jun 2023," katanya.

Ketika ditanya sama ada itu kelemahan PBT dalam penguatkuasaan dalam isu perkhemahan, Sze Han menjelaskan, tapak perkhemahan bukan selalu berada di tepi jalan dan mudah dilihat orang ramai.

"(Kadang kala) di hutan dan tepi sungai serta maklumat itu bukan sentiasa dimaklumkan kepada PBT. Itu sebab bancian terkini perlu dilakukan," katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri tidak menghalang kegiatan perkhemahan, malahan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Selangor.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.