Berita Harian: Selangor destinasi seni, budaya dan warisan negara
SELAIN tarikan seperti taman rimba, pantai atau tempat bersejarah, pelancongan seni dan budaya Selangor juga antara aktiviti giat diperkenal dan disemarakkan.
Pesta Seni dan Kebudayaan Negeri Selangor (PSKNS) 2022 antara program menarik dirancang Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor yang berlangsung selama tiga bulan, bermula Oktober lalu hingga Disember depan.
Jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan berkata, pesta berkenaan bertujuan menjadikan Selangor sebagai destinasi seni, budaya dan warisan negara.
"Program diselaraskan dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) menyajikan lima acara utama dan lapan sampingan di lokasi terpilih.
Antara acara utama dianjurkan adalah temasya cempuling Manifestasi Keroncong Selangor, Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor, Konsert Rentak Selangor dan Program Menjunjung Kasih Tuanku: Temasya Silat Seni Selangor dan Temasya Cempuling Selangor.
"PSKNS 2022 adalah program bersiri menyediakan beberapa acara seni dan budaya dengan menonjolkan identiti kemasyarakatan dan kebudayaan rakyat Selangor," katanya.
Menerusi kenyataan itu, Festival Wau Kapal Selangor bertujuan memperkenalkan wau kapal sebagai identiti wau negeri dan memupuk minat masyarakat terhadap permainan tradisional.
"Manifestasi Keroncong Selangor pula akan mempopular dan menaikkan semula muzik berkenaan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda agar malar segar sepanjang zaman.
"Ia juga usaha menghargai penggiat keroncong dengan memberikan mereka ruang menampilkan bakat masing-masing dan memelihara kelangsungan muzik iaitu sebahagian daripada identiti Selangor," katanya.
Hidangan 2,022 dulang nasi ambeng
Katanya, Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 dimulakan dengan acara gotong-royong menghidangkan 2,022 dulang nasi ambeng.
"Dengan jumlah itu sekali gus menjadi satu usaha untuk mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records sebagai hidangan nasi ambeng terbanyak di Malaysia.
"Konsert Rentak Selangor akan mengetengahkan seni muzik, tarian, teater, seni visual dan persembahan tradisi rakyat Selangor yang dapat meningkatkan pembangunan modal insan," katanya.
Selain itu, Program Menjunjung Kasih Tuanku turut memuatkan temasya cempuling dan silat seni Selangor iaitu kedua-duanya mewakili keunikan warisan unik di Selangor.