Media

Peristiwa
18/7/24
Selangor

Berita Harian: Selangor dalam proses rangka modul bantu ibu bapa kesan anak simptom awal anak istimewa

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dalam proses merangka modul dalam membantu ibu bapa mengenal pasti simptom awal anak istimewa termasuk autisme.

EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata modul bawah Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, draf pertama akan dilihat pada akhir bulan ini sebelum dilancarkan.

"Saya harap modul ini dapat dikongsi kepada ibu bapa dan mungkin kita akan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

"Ibu bapa ada buku rekod kesihatan anak (Klinik Kesihatan) yang mana jika perkembangan anak mereka tidak sama seperti 'milestones' anak normal, ia perlu intervensi dan modul itu bantu ibu bapa 'alert' bahawa anaknya berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Persidangan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) JKM di sini, hari ini.

Sementara itu, Anfaal berkata sebanyak 1,067 kes membabitkan kes penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian kanak-kanak yang dilaporkan di Selangor bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, jumlah sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan pengabaian mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Katanya, pada sesi libat urus yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum ini, menunjukkan kes di Selangor antara yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun iaitu 2021 hingga 2023.

Sementara itu, Anfaal berkata sembilan resolusi perlindungan dan kebajikan kanak-kanak akan dibawa ke simposium kebangsaan berkaitan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak pada September ini.

Beliau berkata, antara resolusi yang dimuktamadkan adalah isu berkaitan mengatasi pengabaian dan kecuaian yang dilakukan terhadap kanak-kanak.

"Resolusi ini diserahkan kepada saya selepas dibincang dalam persidangan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK). Pasukan ini antara akar umbi yang terlibat langsung dalam melindungi kanak-kanak.

"Sembilan resolusi ini adalah dapatan setiap daerah seluruh Selangor membabitkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, biarpun berbeza tujuannya sama iaitu demi kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.