Inisiatif

Peristiwa
8/7/22
Selangor

Berita Harian: Selangor berhasrat jadi negeri pintar 2025

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berhasrat menjadi negeri pintar, berdaya huni serta makmur menjelang 2025 menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bagi mencapai hasrat berkenaan empat tema utama yang menjadi prinsip panduan dibangunkan iaitu ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus.

"Ekonomi bermatlamat untuk mengukuhkan status Selangor sebagai nadi pertumbuhan ekonomi dan destinasi utama pelaburan berkualiti di Malaysia dan rantau Asia yang mana pertumbuhan ekonomi negeri diperkukuh dengan mewujudkan peluang pelaburan berimpak tinggi melalui pendekatan secara mesra pelabur.

"Sosial berhasrat untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang ideal untuk diduduki dengan memberikan penekanan kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara seimbang dan terangkum.

"Kelestarian pula bertujuan untuk menjadikan negeri sebagai peneraju pembangunan lestari dengan memelihara dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang, serta meletakkan perubahan iklim sebagai aspek penting pembangunan negeri.

"Tadbir Urus pula berobjektifkan matlamat untuk mentransformasi perkhidmatan awam negeri menjadi sebuah organisasi moden, berwawasan dan berpaksikan rakyat dalam memudah cara pembangunan dan perniagaan," katanya pada Majlis Simposium Pra Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di MBSA Convention Centre di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pembangunan dokumen RS-1 dilaksanakan secara komprehensif dan terangkum.

Bagaimanapun, katanya dokumen berkenaan bukan sebuah dokumen bersifat statik tetapi sebuah living document yang harus mampu menangani cabaran baharu yang belum pernah kita tempuhi.

"Ia telah melalui pelbagai sesi temu bual dan libat urus secara fizikal dan juga maya bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan membabitkan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, sektor swasta, ahli akademik, masyarakat sivil dan juga rakyat melalui empat fasa utama.

"Fasa pertama membabitkan penjajaran visi, kerangka dan sasaran; fasa kedua perincian diagnosis dan pembangunan kandungan; fasa ketiga membabitkan perincian dan penentuan keutamaan program dan fasa keempat membabitkan sesi validasi dan memuktamadkan laporan," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.