Media

Peristiwa
30/10/23
Selangor

Berita Harian: Selangor bekerjasama dengan pengusaha stesen minyak bantu masyarakat lupus e-waste

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pengusaha stesen minyak bagi membantu masyarakat melupuskan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di tempat selamat dan sesuai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, berkata setakat ini dua syarikat pengeluar minyak menyatakan kesudian menyediakan ruang khas (kiosk) di stesen minyak mereka bagi tujuan itu.

Menurutnya, sebagai permulaan beliau akan melaksanakan projek perintis di stesen minyak berkenaan di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau sendiri, Bandar Utama dalam daerah Petaling.

"Antara cabaran (membuang) e-waste (sisa elektronik), penduduk atau rakyat Selangor kadangkala sukar untuk membuang bahan sisa ini sebab mereka perlu ke tempat tertentu untuk membuangnya.

"Oleh itu kita harap tempat awam yang sentiasa dikunjungi orang ramai, salah satunya stesen minyak. Ada beberapa stesen minyak yang sudi bekerjasama iaitu PETRONAS dan BHP.

"Sekiranya pada masa hadapan, lebih banyak stesen minyak hendak bekerjasama dengan pihak kerajaan, kita akan usahakan sebab tujuan kita untuk memudahkan pembuangan e-waste bagi masyarakat," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2023, peringkat Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar.

Jamaliah berkata, tujuan pelaksanaan projek perintis di stesen minyak tertentu bagi melihat kesannya kepada umum sebelum diperluaskan.

"Kita hendak pastikan jenis e-waste yang boleh dibuang dan memastikan keselamatan dan sebagainya sebab itu kita mulakan percubaan dengan projek perintis.

"Projek ini akan bermula di kawasan DUN saya sendiri, selewat-lewatnya pada Disember ini. Pihak stesen minyak juga ingin tahu sama ia boleh dijalankan secara meluas sebab bukan semua stesen minyak yang sesuai bagi projek ini," katanya.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri perlu memastikan kekerapan pengutipan bahan sisa elektronik yang dibuang itu.

"Kita sedang memperhalusi kaedah terbaik dan menyediakan garis panduan bagi pembuangan sisa elektronik berkenaan, bukan sisa elektronik berbahaya.

"Kita utamakan kepada bahan elektronik kecil yang kerap digunakan dan dibuang seperti bateri, telefon bimbit, sebab kita tidak kerap buang televisyen atau apa juga barang elektronik bersaiz besar," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.