Berita Harian: Selangor bawa 1,138 atlet ke SUKMA
SHAH ALAM: Kontinjen Selangor menurunkan kira-kira 1,138 atlet yang akan mengambil bahagian dalam semua 37 jenis sukan bagi edisi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang bakal berlangsung bermula 17 hingga 24 Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, Kontinjen Selangor optimis untuk berada pada kedudukan ketiga teratas dalam temasya sukan dwi tahunan itu.
"Kita sasarkan penyertaan kali ini untuk menjadi kelompok tiga yang terbaik kerana SUKMA edisi lalu kita berada di tempat ke empat dan kita hendak perbaiki kedudukan itu.
"SUKMA yang akan berlangsung dilaksanakan di Sarawak pada Ogos depan akan membabitkan 37 sukan dan penganjuran kali ini membabitkan sukan tertinggi (banyak) dalam sejarah.
"Dari sudut persediaan atlet, untuk tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi program pembangunan sukan dan persediaan kontinjen SUKMA," katanya ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) berhubung persediaan kontinjen Selangor bagi menghadapi SUKMA pada Ogos nanti.
Jelas beliau, meskipun pada relatifnya jumlah peruntukan untuk persediaan kontinjen SUKMA Selangor adalah lebih rendah berbanding negeri-negeri pencabar, namun persediaan Selangor lebih baik.
"Sabah (RM27.2 juta), Sarawak (RM23.1 juta) dan Terengganu (RM20 juta), Johor (RM15 juta), namun kita akan menggunakan mekanisme dengan meminta tajaan daripada anak syarikat kerajaan negeri.
"Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut mengambil tanggungjawab untuk menjadi PBT angkat kepada persatuan tertentu.
"Ini secara tidak langsung dapat menampung kekurangan yang mungkin kita boleh dapat menerusi kerjasama (pelbagai) pihak dan agensi," katanya.