Berita Harian: Selangor akan taja penuh 50 bakal haji layak - Belanjawan 2024

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan menaja sepenuhnya kira-kira 50 individu bagi menunaikan ibadah haji di bawah peruntukan Insentif Haji Selangor menerusi Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, petang tadi.
Katanya, Insentif Haji Selangor yang disenaraikan di bawah teras keempat Belanjawan 2024 iaitu Mengangkat Kesatuan Ummah, dinaikkan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta.
"Kita akan taja mereka berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Tabung Haji (TH). Kita belum letakkan sasaran ...mungkin sekitar 40 hingga 50 orang yang ditaja sepenuhnya. Selebihnya kita berikan RM1,000 hingga RM1,500 mengikut kemampuan dana RM3 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2024.
"(Insentif) sebelum ini RM500, maknanya ada peningkatan (kepada RM1,000 hingga RM1,500) dan ini akan dimasukkan ke dalam akaun TH mereka.
"(Tajaan sepenuhnya) Kita akan kenal pasti yang betul-betul layak mungkin beberapa individu setiap daerah yang akan ditaja sepenuhnya dengan kos kira-kira RM12,000 hingga RM13,000.
"Kriteria yang akan digaris pendekkan, termasuk yang betul-betul dalam kelompok B40, yang betul-betul teringin hendak menunaikan haji tetapi tidak mampu, mungkin dalam kalangan pemimpin masyarakat, imam, guru agama, itu kita akan laksanakan," katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Amirudin memberitahu sidang dewan, Insentif Haji Muassasah Selangor mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
"Tahun lalu, jemaah Haji Muassasah diberikan wang tunai RM500 bagi membantu mereka dalam melaksanakan ibadah Haji di Baitullah.
"Dalam Tawaran Kita Selangor, Kerajaan Perpaduan turut bermatlamat meluaskan insentif ini dari wang saku kepada subsidi Haji.
"Oleh itu, untuk tahun depan, kerajaan negeri melalui MBI meningkatkan peruntukan bagi Insentif Muassasah Haji Selangor dari RM1.5 juta kepada RM3 juta yang mana bantuan ini akan dijalankan dengan usaha sama TH," katanya.