Berita Harian: Selangor akan laksana libat urus dengan penduduk berkaitan isu insinerator
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan melaksanakan libat urus melalui KDEB Waste Management bersama penduduk Rawang berkaitan bantahan pembangunan loji rawatan termal atau insinerator di kawasan terbabit.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata libat urus itu diadakan bagi memberikan maklumat tepat berkenaan perancangan pembangunan loji itu.
Amirudin turut menjelaskan, teknologi yang dirancang bukan dari zaman 70-an ataupun 80-an.
"Industri WTE telah dibangunkan di negara maju dengan teknologi mampan yang tidak memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.
"Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pembuangan sampah di tapak pelupusan sampah yang akhirnya akan memberikan kesan buruk kepada komuniti," katanya dalam hari ini.
Semalam BH melaporkan, lebih 1,000 penduduk sekitar Rawang menyuarakan bantahan terhadap projek pembinaan loji rawatan termal atau insinerator yang didakwa bakal dibina berhampiran kawasan perumahan mereka tidak lama lagi.
Mereka yang dikenali sebagai Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI), iaitu pihak yang menyelaras usaha menolak cadangan projek berkenaan selepas beberapa siri bantahan oleh penduduk sejak tahun lalu mendakwa tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.
Cadangan projek yang didakwa bakal menampung 2,400 tan sisa pepejal dari enam pihak berkuasa tempatan itu dikhuatiri bakal mencacatkan kawasan apabila dibina begitu hampir dengan penempatan penduduk.