Inisiatif

Peristiwa
11/11/22
Selangor
Negara

Berita Harian: Saya akan sumbang gaji ke dalam tabung komuniti Gombak - Amirudin

GOMBAK: Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari, bakal menyumbang gajinya sebagai Ahli Parlimen ke dalam tabung komuniti Gombak, jika memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagi membangunkan infrastruktur dan prasarana rakyat di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau akan membangun serta menyelaraskan dana terbabit bersama sektor awam dan swasta, bagi memantapkan infrastruktur tempatan serta manfaat dan kebajikan penduduk Gombak.

"Kalau saya masih kekal Ahli Dewan Undangan Negeri, ada jawatan dalam kerajaan negeri dan tiada apa-apa tanggungjawab peringkat Persekutuan, gaji ini akan saya letakkan di sini (Gombak)

"Saya juga akan menjemput pihak swasta yang ingin menyumbang, untuk memasukkannya ke dalam tabung ini. Ia akan berguna bagi membangunkan infrastruktur, komuniti serta prasarana kepada rakyat secara terus, selain peruntukan kerajaan," katanya ketika berucap melancarkan 'Deklarasi Gombak, Lima Tekad untuk Lima Tahun' di bilik gerakan PH, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin membidas kenyataan beberapa pihak yang mempersoalkan keabsahan beliau bertanding di kerusi Parlimen Gombak, kerana jawatannya selaku Menteri Besar dianggap sebagai penjawat awam.

Beliau mendakwa sudah menerima mesej daripada bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjelaskan bahawa kedudukan Menteri Besar adalah anggota pentadbiran dan bukan penjawat awam.

Selain itu, katanya, beliau telah merujuk penasihat undang-undang Selangor, William Leong Jee Keen, sebagai peguam yang turut memaklumkan perkara sama.

"Saya rasa ini (dakwaan) dibuat oleh beberapa pihak yang naif dan jahil mengenai Perlembagaan serta peraturan. Banyak (dakwaan terbabit) bertebaran dalam WhatsApp… janganlah guna cara macam itu, tak elok," katanya.

Sementara itu mengulas dakwaan pesaingnya di kerusi Parlimen terbabit, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa PKR kini diterajui 'diktator', Amirudin menyifatkan parti berkenaan sebaliknya adalah yang paling demokratik di Asia Tenggara.

Malah, beliau berkata, PKR membenarkan semua ahlinya mengundi dan memilih Presiden serta Timbalan Presiden.

"Sistem pemilihan PKR jelas tersusun kemas. Saya rasa tiada lagi parti di Malaysia yang membenarkan sedemikian," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.