Berita Harian: Sambung projek bina 5 stesen LRT3 di Selangor pertingkat keterhubungan rakyat - Amirudin

KUALA LANGAT: Penyambungan semula projek pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) di Selangor mampu menambahbaik keterhubungan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Katanya, kerajaan negeri ketika ini juga sedang membuat kajian bagi menghubungkan perkhidmatan rel dari Klang hingga Kuala Selangor.
"Alhamdulillah, ia mampu meningkatkan keterhubungan rakyat, terutama di kawasan Klang. Sebenarnya kerajaan negeri baru memulakan kajian untuk penyediaan perkhidmatan rel sampai ke Kuala Selangor.
"Saya harap selepas setahun ini, kita dapat pelan lebih baik atau nampak jajaran lebih 'complete' untuk sempurnakan tekad kita, salah satunya menyediakan jajaran dari utara Selangor sampai ke Klang," katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024, memaklumkan kerajaan Persekutuan bersetuju meneruskan cadangan pembinaan lima stesen LRT3 di negeri ini yang dibatalkan sebelum ini dengan kos RM4.7 bilion.
Lima stesen terbabit ialah Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Semasa pelancaran 'Tawaran Kita Selangor' oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Ogos lalu, Amirudin membentangkan janji mewujudkan 'Jajaran Kita Selangor' yang menghubungkan perkhidmatan rel dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam.
Ia juga akan menghubungkan jajaran rel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek agar wilayah pantai barat Selangor menjadi Koridor Perkhidmatan Rel.