Berita Harian: Program Selangor Saring diteruskan, sasar 31,000 penerima
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneruskan pelaksanaan program Selangor Saring pada tahun ini bagi membantu pencegahan penyakit melalui saringan dan pengesanan awal.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata kerajaan negeri memperuntukkan keseluruhan RM2.6 juta bagi pelaksanaan program dengan sasaran seramai 31,000 penerima manfaat di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, program dilaksanakan pada tahun lalu itu menerima lebih 20,000 pendaftaran dan berjaya mengenal pasti 49 peratus kes yang memerlukan tindakan susulan, konsultasi dan rawatan lanjut.
"Bagi 2023, kerajaan negeri memperluaskan skop perkhidmatan kepada tiga kategori iaitu saringan telinga, pemeriksaan gigi dan perkhidmatan fisioterapi, selain saringan asas yang lain.
"Lima kategori saringan dan perkhidmatan Selangor Saring tahun 2023 membabitkan penyakit tidak berjangkit iaitu penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang; penyakit kanser (kanser kolorektal, prostat, serviks dan payudara); penyakit berkaitan mata (rabun, glaukoma dan retina); saringan tambahan bagi pemeriksaan gigi dan telinga serta perkhidmatan fisioterapi.
"Justeru, kerajaan negeri menggesa rakyat Selangor yang mempunyai faktor risiko (seperti sejarah keluarga, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak sihat) serta mereka yang masih belum dikenal pasti oleh doktor mempunyai penyakit dinyatakan untuk mendaftar ke program Selangor Saring," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah mulai semalam.
Katanya, setiap pemohon perlu melengkapkan borang saringan awal ketika proses pendaftaran bertujuan mengenal pasti latar belakang dan faktor risiko pemohon.
"Individu yang layak akan menerima baucar untuk menjalani saringan kesihatan tanpa sebarang bayaran di lokasi dan tarikh ditetapkan.
"Maklumat lanjut berkenaan program Selangor Saring boleh didapati melalui laman sesawang selangorsaring.selangkah.my dan sebarang isu berkaitan pendaftaran boleh diajukan ke talian hotline Selcare iaitu 1-800-22-6600," katanya.