Berita Harian: Polis Selangor perhebat pantau anggota di lapangan, banteras salah guna kuasa, disiplin
KUALA LUMPUR: Polis Selangor akan memperhebatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas anggota polis yang bertugas di lapangan bagi mencegah berulang salah laku disiplin serta penyalahgunaan kuasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tindakan pemantauan dan pemeriksaan akan membabitkan pasukan pemantauan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Beliau berkata, bagi membendung masalah disiplin dan salah guna kuasa dalam kalangan anggotanya juga, pegawai penyelia mereka turut akan dipertanggungjawab atas segala kesalahan tatatertib yang dilakukan anggota bawahan masing-masing.
"Tindakan pemantauan dan pemeriksaan ke atas anggota di barisan hadapan ini akan terus diperhebatkan membabitkan pasukan pemantauan IPK dan IPD.
"Seterusnya, penggunaan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membabitkan tindakan ke atas penyelia akan dikuatkuasakan dan diperluaskan," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu salah laku dan salah guna membabitkan beberapa anggota polis dibawah Polis Kontinjen Selangor baru-baru ini
Hussein menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggotanya yang terbabit dengan perbuatan salah laku, salah guna kuasa serta perbuatan jenayah.
"Tiada kompromi. Semua yang terlibat akan ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan yang dilakukan. Tidak akan ada seorang pun yang akan dilindungi," katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata pihaknya juga melaksanakan tindakan pencegahan secara berterusan melalui latihan dalam perkhidmatan, sesi kaunseling serta pemantauan oleh penyelia.
Selain itu, kata beliau pihaknya juga akan melaksanakan tindakan intervensi atau 'corrective' melalui pemeriksaan mengejut oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), tindakan tatatertib serta penggiliran tugas.
BH sebelum ini melaporkan dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, ditahan berhubung kes samun dan rogol ke atas satu pasangan di Bukit Ampang, Ampang Jaya, Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 9.45 malam, kedua-dua anggota berpangkat Konstabel dan Lans Koperal berusia 20-an dan 30-an dipercayai sedang melakukan rondaan sebelum memeriksa sebuah kereta jenis Volkswagen Golf yang sedang berhenti.
Kereta terbabit dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun dan seorang wanita warga Uzbekistan berusia 17 tahun.
Kedua-dua suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, disyaki mengarahkan mangsa membayar RM500 selepas memaklumkan lelaki terbabit akan ditangkap dan dibawa ke Balai Polis sekiranya gagal membayar wang tunai RM2,000 atas satu kesalahan lalu-lintas yang dilakukan.
Hussein dalam kenyataan, dilaporkan berkata kedua-dua suspek membawa dua mangsa terbabit ke lokasi berbeza sebelum berlakunya kejadian samun dan rogol.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan jam 6 petang, Rabu lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ampang Jaya, sebelum direman selama tujuh hari.
Katanya, polis membuka dua kertas siasatan berkait kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 kanun sama.
Hussein turut memaklumkan dua anggota polis terbabit digantung tugas sehingga siasatan kes berkenaan selesai.