Media

Pendapat
6/10/21
Selangor
Negara

Berita Harian: Polis nafi Klang bandar paling tidak selamat

SHAH ALAM: Polis Selangor menyifatkan laporan berita yang disiarkan sebuah laman sesawang yang mendakwa Klang adalah bandar paling tidak selamat serta miliki kadar keselamatan paling rendah di Asia Tenggara adalah mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, maklumat yang terkandung dalam artikel itu berkaitan indeks jenayah (crime index) dan indeks keselamatan (safety index) tidak dapat dipastikan kesahihan serta sumbernya.

"Pihak polis ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa berita yang disiarkan adalah mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

"Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak menggambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat di daerah Klang.

"Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor mulai dari 1 Januari hingga 30 September lalu, bagi jenayah kekerasan di daerah berkenaan melebihi nilai ambang sebanyak 31.76 kes atau bersamaan dengan 6 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arjunaidi berkata, bagi jenayah harta benda pula, untuk tempoh yang sama sudah berada di bawah nilai ambang iaitu 195.44 kes atau bersamaan dengan 13 peratus.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sepanjang tempoh berkenaan daerah Klang berada di bawah nilai ambang iaitu sebanyak 163.68 kes atau bersamaan dengan 8 peratus.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak gusar atau bimbang dengan laporan yang dikeluarkan oleh laman sesawang itu kerana ianya tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar kejadian jenayah yang berlaku di daerah Klang," katanya.

Terdahulu, kandungan portal berbahasa Inggeris itu menunjukkan Klang di tangga pertama sebagai bandar yang tidak selamat serta kadar keselamatan yang rendah di Asia Tenggara.

Mengikuti Klang adalah Kuala Lumpur di tangga kedua serta Manila, Filipina di tangga ketiga.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.