Media

Peristiwa
18/8/23

Berita Harian: Menteri Agama nafi dakwaan sekolah agama di Selangor diarah tutup

PUTRAJAYA: Dakwaan lebih 200 sekolah agama di Selangor diarah tutup adalah tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Katanya, dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan memberi amaran kepada sekolah agama persendirian dan diarah keluar dari premis masing-masing adalah tidak benar sama sekali serta berniat menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam.

Kerajaan katanya, telah mengeluarkan satu garis panduan susulan kejadian kebakaran sehingga menyebabkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dibangun dan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian.

"Inisiatif itu diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan itu telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dimaklumkan sejak 2021, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Kerajaan Negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran melalui Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama yang telah dikeluarkan.

Kelonggaran telah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun dan dalam tempoh ini JAIS telah mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang pihak sekolah mendapatkan ulasan daripada agensi yang berkaitan.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut, hampir 200 sekolah agama di Selangor didakwa mendapat surat amaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk keluar dari premis perniagaan yang disewa.

Arahan itu dikatakan membabitkan lebih 40,000 pelajar di sekolah agama berkenaan. Pengurusan sekolah berkenaan dikatakan telah diarahkan tutup oleh PBT atas alasan tidak menepati garis panduan dan operasi (SOP) berkaitan premis perniagaan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.