Berita Harian: MB hormati keputusan tiga EXCO Selangor tidak pertahan kerusi DUN
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghormati keputusan tiga Pengerusi Jawatankuasa Tetap (EXCO) Negeri yang mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata, kerusi DUN terbabit membabitkan Bandar Baru Klang yang disandang Datuk Teng Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana negeri serta Dr Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri.
Turut tidak mempertahankan kerusi DUN ialah V Ganabatirau (Kota Kemuning) iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosioekonomi, Kebajikan Masyarakat, Peberdayaan Pekerja dan Kerajaan Prihatin negeri.
"Bagi saya ia adalah kehilangan kepada Selangor terutamanya atas sumbangan dan kerja baik ditunjukkan oleh ketiga-tiga EXCO ini. Namun, kita percaya ia juga memberi ruang kepada muka dan idea baharu untuk meneruskan kesinambungan negeri pada penggal akan datang serta menyambung tugas untuk mentadbir dan memakmurkan Selangor," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Media terdahulu melaporkan tiga EXCO kerajaan Selangor mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN disandang pada PRN ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 29 Julai bagi PRN yang akan dijalankan secara serentak di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.– BERNAMA