Berita Harian: Masjid musnah dihujani serangan Israel, cebisan daging manusia bertaburan
KUALA LUMPUR: Cebisan daging manusia bertaburan di jalanan berhampiran sebuah masjid yang dihujani serangan peluru berpandu dilancarkan rejim Zionis ke atas Gaza dalam konflik yang kian memuncak.
Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, dalam satu hantaran melalui Facebook, semalam.
Beliau berkata, rumah ibadat itu ialah antara lima masjid yang dilaporkan musnah akibat serangan rejim Zionis sejak hari pertama pergolakan itu.
"Gambar masjid yang dibom petang tadi (semalam) yang saya kongsikan ini ada kisah tersendiri kerana ia terletak berdepan rumah adik ipar, tempat isteri saya dan anak-anak berteduh.
"Masjid dibom tanpa amaran tetapi takdir Allah SWT, mereka sempat lari. Macam mimpi, semuanya boleh selamat.
"Para pemuda mengusung mereka keluar dari robohan rumah... di jalanan, mereka nampak ketulan daging manusia bertaburan," katanya.
Beliau berkata, seramai 11 individu yang berada berhampiran masjid terbabit dipercayai maut akibat serangan itu, manakala puluhan lagi mengalami kecederaan.
"Nyaswa kita di tangan Allah SWT. Selagi masih bernyawa, teruskan bekerja dan jangan berhenti," katanya.
Sabtu lalu, Hamas melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas Israel, dalam tindak balas mengejut yang menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.
Kumpulan itu berkata, pihaknya mengisytiharkan Operasi Banjir Al-Aqsa bagi menamatkan jenayah pendudukan yang dilakukan oleh Israel sejak sekian lama.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pula dilapor menegaskan rakyatnya mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Israel.
Susulan itu, Israel bertindak melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, dengan angka kematian dilaporkan sudah melangkaui lebih 1,100 dalam peperangan berkenaan.
Penduduk Gaza dilaporkan mendakwa Israel sengaja menyasarkan orang awam untuk memberi lebih tekanan terhadap Hamas.