Berita Harian: MAIS sumbang RM11.3 juta untuk 26 Rumah Pemulihan Riqab

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan RM11.3 juta kepada 26 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab, khususnya di Selangor.
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata sumbangan RM11,348,640 adalah bagi kos program serta pengurusan dan penjagaan asnaf Riqab di RPR yang berada di bawah seliaan MAIS bagi tahun ini.
Katanya, antara RPR yang menerima bantuan adalah Rumah Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Islam Tersisih Selangor (PAKATs), Rumah Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS), Rumah Teduhan Kasih, Rumah Penawar dan Rumah Sahabat.
"MAIS juga menyumbang sebanyak RM306,000 kepada 1,207 orang asnaf riqab di negeri ini bagi membantu mereka membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal.
"Bantuan yang diagihkan adalah dengan menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Shahir berkata, sumbangan berkenaan bertujuan membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.
"MAIS berharap bantuan dapat digunakan sebaiknya, terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial untuk memastikan asnaf riqab diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan sewajarnya," katanya.
Terdahulu, penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon pada Majlis Perasmian Iftar dan Tadarus Perdana Riqab MAIS 2023 di sini, semalam.