Berita Harian: LUAS belanja RM30.2 juta pantau, kawal sumber air Selangor sejak 2018

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membelanjakan RM 30,250,023,11 bagi pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan di sepanjang kawasan sumber air dan sungai di Selangor sejak 2018 sehingga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim, berkata berdasarkan rekod, perbelanjaan pada tahun 2018 sehingga 2020 adalah sekitar RM210,000 hingga RM360,000.
"Perbelanjaan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM8.867 juta, RM11.7 juta (2022) dan RM8.875 juta (2023).
"Peningkatan perbelanjaan LUAS bermula pada 2021 sehingga kini berikutan keperluan penyediaan peruntukan bagi operasi Skuad Pantas LUAS yang menjalankan pemantauan rondaan 24 jam di lembangan sungai strategik Selangor dan juga peruntukan bagi Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) di Bestari Jaya.
"Baki yang lain membabitkan pembangunan stesen telemetri, perolehan peralatan pemantauan dan juga kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur sumber air," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) berhubung perbelanjaan dalam pemantauan dan penguatkuasaan sumber air di Selangor.
Dr Afif turut meminta penjelasan berhubung kaedah bagi menjamin bekalan sumber air bersih di Selangor.
Mengulas mengenai perkara itu Izham berkata, empat empangan utama di Negeri Selangor berada pada paras 100 peratus iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang sehingga 14 Februari lalu.
"Sementara dua empangan melebihi kapasiti 90 peratus iaitu Empangan Sungai Langat dan Empangan Batu, Empangan Klang Gate pula pada paras 84 peratus.
"Kesemua empangan ini mampu membekalkan air selama enam bulan sekiranya tiada hujan.
"Status kesemua empangan ini boleh dilayari melalui laman sesawang www.iwrims.luas.gov.my," katanya.
Beliau berkata, kesediaan bekalan air mentah ini juga dibantu melalui 100 kolam takungan yang dapat dijadikan sumber air alternatif di Selangor.
"Kolam-kolam ini mampu membekalkan air tambahan selama tiga bulan lagi. Air kolam akan dialirkan sama ada secara graviti atau melalui pam ke sungai-sungai di mana kedudukan muka sauk terletak di hilirnya.
"Kesimpulannya, negeri Selangor mempunyai sumber air yang mencukupi untuk membekalkan air kepada penduduk negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama tempoh berlaku fenomena El-Nino pada kali ini," katanya.