Media

Peristiwa
11/7/24
Selangor

Berita Harian: Lembu, kerbau diternak di Selangor perlu tanda pengenalan

SHAH ALAM: Semua lembu dan kerbau yang diternak di Selangor akan dilakukan penandaan (tanda pengenalan) bagi memudahkan proses pengesanan pemilik serta pendakwaan di mahkamah.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata perkara itu antara tiga komponen yang akan diberi tumpuan dalam pemindaan Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 yang ketika ini dianggap terdapat kelemahan ketara berkaitannya.

"Isu lembu rayau ini isu besar dan penting yang harus diselesaikan dengan kita tidak boleh membiarkan lembu dan kerbau merayau sehingga memasuki pasar raya, hospital dan jalan raya.

"Memang kena buat tagging (penandaan) sebab sekarang tidak ada peruntukan berkaitannya. Pengenalan ini bukan sahaja dapat kenal pasti pemiliknya tetapi bahan pembuktian di mahkamah (sekiranya berlaku kes melibatkan kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Harrison Hassan (PN-Jeram) sama ada penandaan lembu akan dibuat susulan lebih 10 kes kemalangan maut berlaku di Jeram sejak setahun lalu.

Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memaklumkan, penambahbaikan turut akan dilakukan dari segi syarat pelesenan lebih teratur, penalti dan bayaran serta kawasan mana bagi penternakan itu.

"Kalau pemohon tiada tempat (ternakan), kita tidak akan keluarkan lesen ini. Semua pematuhan ini juga akan disertakan sekali terhadap Undang-Undang Kecil (UKK) di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kalau berdasarkan UKK, memang tidak dibenarkan sebarang ternakan lembu dan kerbau dalam kawasan mereka (PBT). Ia (UKK) sudah lama cuma kita tidak kuat kuasakan berikutan tiada alternatif lagi kepada penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini," katanya.

Mengulas lanjut, Izham berkata, kelompongan dan kelemahan itu sedang diteliti menerusi draf pindaan yang sedang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan lebih teratur dan efektif.

"Undang-Undang subsidari ini dijangka dimuktamadkan sebelum 31 disember 2024 selepas mendapat kelulusan dan kajian kamar Penasihat Undang-Undang Negeri.

"Setelah itu, kerajaan negeri akan melaksanakan sesi-sesi penerangan dan libat urus melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti pemimpin masyarakat, golongan penternak, beberapa jabatan serta agensi kerajaan dan sebagainya bagi tempoh enam bulan (moratorium) sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negeri.

"Selepas moratorium, lembu yang berkeliaran ini akan tangkap dan pemilik akan diambil tindakan," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.