Berita Harian: Lebih 10,000 rumah terjejas akibat banjir Selangor akan dibaikpulih dan dibina semula
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengesan 10,554 rumah mengalami kerosakan akibat banjir di negeri itu pada Disember lalu yang memerlukan kerja baik pulih atau pembinaan semula.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata daripada jumlah itu, 44 rumah perlu dibina baharu.
Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail dipertanggungjawabkan untuk menyelaras bantuan perumahan selepas kerajaan negeri mengenal pasti jumlah kerosakan setakat ini.
"Sebahagian besar pembinaan sudah mendapat komitmen daripada kementerian berkaitan dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
"Proses baik pulih akan dilakukan berdasarkan tahap kerosakan dan menerusi mesyuarat diaturkan Rodziah sebelum ini, ada syor (cadangan) untuk memberikan bantuan bagi kerosakan kecil, manakala untuk pembinaan baharu, ia mengambil sedikit masa bagi melantik kontraktor dan sebagainya," katanya pada sidang media khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya jumlah kerugian dialami berikutan banjir baru-baru ini, Amirudin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sekitar RM400 juta bagi kerja membaik pulih infrastruktur.
"Anggaran kasar kerajaan negeri bagi keseluruhan kerugian harta benda akibat banjir adalah lebih RM1.4 bilion termasuk RM400 juta untuk baik pulih infrastruktur," katanya.
Diminta mengulas tindakan sebuah klinik menawarkan sijil digital MySejahtera tanpa suntikan vaksin, Amirudin menyarankan Kementerian Kesihatan (KKM) menyenarai hitam pihak terbabit.
Katanya, agak malang perkara itu turut berlaku di Selangor dengan kes awal dikesan berlaku di Terengganu.