Suara

Peristiwa
15/11/23
Selangor

Berita Harian: Kutipan hasil Selangor dijangka bertambah RM100 juta dengan pengenalan tiga langkah baharu

SHAH ALAM: Kutipan hasil Selangor dijangka akan bertambah sekitar RM100 juta lagi selepas kerajaan negeri memperkenalkan tiga langkah baharu mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata langkah itu melibatkan perkongsian dividen anak syarikat sekitar RM40 juta, semakan fi pejabat bawah kaedah tanah negeri sebanyak RM50 juta dan peningkatan caruman parit dianggarkan kira-kira RM10 juta.

"Maknanya dari tiga langkah pertama ini kita menjangkakan kita akan menambah RM100juta dari kutipan-kutipan yang tidak dapat dikutip atau tidak dikutip sebelum ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan tambahan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai anggaran nilai peningkatan hasil berdasarkan strategi baharu negeri.

Amirudin berkata, sehingga kini sumber hasil tanah di negeri ini seperti cukai tanah, premium, permit tanah dan galian dan bayaran berkaitan tanah menyumbang sebanyak 80 peratus daripada hasil keseluruhan.

Katanya, hasil cukai tanah pula menyumbang 24 peratus daripada keseluruhan 80 peratus hasil.

"Kerajaan negeri juga sedang mengkaji hasil lain yang boleh dikutip pada masa akan datang termasuk menyemak semula kadar fi tertentu.

"Tiga perkara kita tetapkan dalam Belanjawan 2024 yang dilaksanakan, pertama adalah cadangan perkongsian hasil di antara anak syarikat dalam bentuk dividen dan ia disebutkan dengan jelas dalam Belanjawan 2024.

"Kedua, semakan semua fi pejabat di bawah Kaedah Tanah Selangor 2003, berikutan kenaikan kos operasi pejabat pentadbiran tanah negeri. Ketiga, menaikkan caruman parit yang akan ditetapkan yang akan ditetapkan pada kadar lebih tinggi, daripada RM10,000 pada waktu ini," katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri masih bergantung kepada hasil tanah, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, pihaknya giat meneroka projek tenaga hijau bagi menambah nilai hasil negeri; termasuk pelaksanaan beberapa projek kendalian Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) bernilai hampir RM10 bilion.

Beliau berkata, ketika ini, Worlwide mempunyai sembilan ke 10 projek yang sebahagiannya adalah projek ekonomi atau tenaga hijau dan ia termasuk pembinaan loji jana kuasa di Pulau Indah, Klang selain penerokaan sektor solar dan juga mini hidro serta penghasilan hidrogen.

"Baru-baru ini, kita berhubung dengan pihak Abu Dhabi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut melakukan lawatan ke sini. Hasil pertemuan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan menteri-menteri, baru-baru ini mereka sedia melabur sekitar RM10 juta atau 10 gigawat (GW) dan Selangor terlibat antara 1-1.5 GW," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.