Media

Peristiwa
12/12/23
Selangor
KDNK

Berita Harian: Kutipan hasil Selangor cecah RM2.571 bilion

S

Selangor mencatat kutipan hasil berjumlah RM2.571 bilion setakat 6 Disember lalu, iaitu 128 peratus berbanding sasaran kutipan hasil RM2 bilion yang ditetapkan pada tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia adalah manifestasi dan bukti kesungguhan barisan penjawat awam serta anggota pentadbiran kerajaan negeri bagi memacu ekonomi negeri, sekali gus meningkatkan hasil demi manfaat rakyat.

"Pencapaian ini menggambarkan keyakinan komuniti pelaburan serta rakyat Tuanku terhadap sikap dan kebertanggungjawaban kerajaan Tuanku dalam merencana serta mengagihkan kekayaan negeri secara efektif dan bersasar.

"Antaranya, pembangunan di wilayah selatan Selangor, iaitu Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS) dibangunkan dalam kawasan seluas 40,000 ekar (16,187 hektar) di mana kerajaan Tuanku akan merancang dan memudah cara pembangunan kawasan baharu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang ke-78 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Selangor berhasrat mewujudkan perbandaran baharu di kawasan IDRISS seumpama Shah Alam dan Bangi, untuk didiami.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2024 pada November lalu, beliau berkata, Selangor berhasrat mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya meliputi empat bandar raya, iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

"Lembah Klang Raya bermatlamat menyatu, menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran empat bandar berkenaan bagi memudah cara proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan kerenah birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat.

"Lembah Klang Raya bertujuan membolehkan kerajaan Tuanku memulakan proses rejuvenasi bandar-bandar matang bagi menarik pelaburan dalam industri baharu yang berteraskan digitalisasi, supaya Gagasan Lembah Klang Raya menjadi bandar berdaya tahan terutama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, bandar mampan, serta berdaya huni," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Selangor berikhtiar merencana dan meningkatkan peluang untuk generasi muda di negeri ini diberi pekerjaan yang boleh menawarkan gaji lebih tinggi dan berpatutan.

"Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan Tuanku akan membangunkan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor bagi merealisasikan hasrat 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi bagi rakyat Tuanku, terutama dalam kalangan generasi muda," katanya.

Dalam sembah ucapan itu, Amirudin turut memaklumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu melalui proses demokrasi yang berlangsung dengan aman, tenteram dan stabil.

"Patik mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Selangor, menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu serta bertekad terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri Selangor, hak keistimewaan orang Melayu serta kesucian agama Islam.

"Kerajaan Perpaduan akan terus berikhtiar dan berusaha demi kesejahteraan semua rakyat Selangor berbilang bangsa dan agama, serta memelihara perpaduan yang dibina setelah sekian lama sebagai kerukunan rakyat Selangor," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.