Berita Harian: KSSA penuhi aspirasi rakyat Selangor
MASA kerap menjadi hambatan yang membataskan keinginan untuk melakukan hal selain kerja hakiki, lebih-lebih lagi bagi warga di bandar raya utama.
Tampil tepat pada masanya dan bakal menjadi kebanggaan rakyat Selangor, pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bermula semalam, adalah jawapan kepada imbangan kerja dan kehidupan.
Projek bersejarah itu membawa bersama aspirasi pelbagai lapisan rakyat untuk memiliki kesejahteraan hidup berkeluarga, kemakmuran ekonomi, pengisian budaya dan waktu senggang yang dipenuhi dengan aktiviti bermakna.
Pembinaan pelbagai kemudahan kelak merangkumi stadium berbumbung serba moden sebagai 'rumah baharu' pasukan bola sepak Red Giants, padang terbuka dan trek beriadah, arena tertutup bagi acara kebudayaan seperti persembahan teater yang boleh memuatkan 10,000 orang serta lot ruang niaga ke arah menjana kerancakan ekonomi.
Turut dibangunkan sebagai komponen KSSA di kawasan seluas 68.8 hektar (170.2 ekar) itu ialah hab pengangkutan awam bersepadu, hotel, ruang letak kenderaan lebih besar dan taman dalam persekitaran kawasan hijau yang menitikberatkan aspek alam semula jadi secara lestari.
Semua komponen itu akan dihubungkan dengan laluan pejalan kaki tiga hala yang memudahkan pengunjung, sekali gus memelihara aspek alam sekitar kerana meminimumkan penggunaan kenderaan.
Ibarat serampang dua mata, ada bahagian KSSA boleh dijadikan pusat perlindungan sekiranya berlaku bencana alam yang menjejaskan penduduk setempat.
Kepelbagaian sedemikian cukup untuk menceritakan ketelitian pembangunan dirancang bagi menjadikan KSSA lokasi persinggahan yang memenuhi keperluan masyarakat, selain mampu menarik kehadiran pengunjung dari luar Selangor.
Ciri futuristik
Bakal memukau ramai, stadium baharu bercirikan futuristik dan dilengkapi pelbagai elemen moden demi keselesaan pengunjung, khususnya penyokong tegar skuad Merah Kuning.
Keadaan padangnya kelak lebih terjaga kerana bercirikan padang boleh alih untuk diganti dengan platform bersesuaian bagi keperluan berbeza - yang pertama seumpamanya di negara ini.
KSSA tidak akan pernah sunyi daripada kerancakan aktiviti. Dari pagi hingga ke malam, segenap lapisan usia mempunyai tarikan masing-masing untuk berada di persekitarannya.
Anak muda yang minat bersukan atau aktiviti bersesuaian usia semestinya bertumpu kepada kemudahan riadah manakala peminat seni dan budaya boleh meluangkan masa menyaksikan persembahan di teater tertutup.
Semua itu membuka peluang luas bagi pengendali premis perniagaan, terutamanya golongan belia, menjana pendapatan secara konsisten, dengan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pembinaan laluan pejalan kaki yang lebih teratur dan sistematik akan turut memudahkan pengunjung, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selamat.
Bermulanya pembangunan KSSA adalah bukti kesediaan dan kesungguhan Selangor memenuhi komitmen memberi yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, demi #Kita Selangor.