Inisiatif

Peristiwa
1/3/23
Selangor

Berita Harian: KPS rekod keuntungan bersih RM73.7 juta

KUALA LUMPUR: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) merekodkan keuntungan bersih RM73.7 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding RM57.2 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatannya pada tahun dikaji meningkat kepada RM1.36 bilion berbanding RM1.33 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi mantap itu dicapai melalui pelaksanaan strategik inisiatif taktikal perniagaan terasnya, yang sebahagiannya menghasilkan kontrak bernilai RM450 juta.

Keuntungan lebih tinggi itu juga disokong oleh bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu, terutamanya daripada pelupusan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT).

Bagi prestasi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM46.7 juta berbanding RM18.9 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya bagaimanapun menyusut sedikit empat peratus kepada RM322.1 juta berbanding RM335.9 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPS, Ahmad Fariz Hassan, berkata sepanjang suku dikaji, inisiatif taktikal kumpulan seperti mempelbagaikan campuran produk, meningkatkan jangkauan dan menguruskan risiko pasaran yang bertujuan menguruskan pendapatan menunjukkan kejayaan.

"Ini menyebabkan KPS memperoleh lebih daripada RM450 juta kontrak, mengakhiri tahun dengan hasil yang stabil.

"Keupayaan kami untuk terus maju di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar adalah hasil daripada ketangkasan strategi tindak balas dan kecekalan ahli pasukan, yang membawa kepada pelaksanaan beberapa siri tindakan taktikal ke arah mencapai sasaran perniagaan di peringkat anak syarikat sebagai sebahagian daripada rancangan penciptaan nilai kumpulan," katanya.

Beliau menambah, secara berasingan, pelupusan lebuh raya SPRINT membantu KPS untuk terus menumpukan pada perniagaan pembuatan teras dan mencapai kunci kira-kira yang lebih kukuh, kerana sebahagian daripada hasil pelupusan itu membiayai pengambilalihan MDS Advance Sdn Bhd pada harga RM85 juta baru-baru ini.

"Pengambilalihan MDS Advance secara berterusan akan melengkapkan portfolio perniagaan pembuatan teras kumpulan, meletakkan ia secara strategik dengan mempunyai cadangan nilai yang lebih luas daripada beberapa pemain yang lebih besar dalam industri.

"Ini membolehkan kami menawarkan penyelesaian yang lebih holistik kepada industri sokongan kejuruteraan dan akhirnya, industri jentera dan peralatan," katanya.

Pelupusan SPRINT membolehkan KPS memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya pada 30 Disember 2022 dengan dividen khas 4.5 sen sesaham, bersama 2.0 dividen interim, yang kedua-duanya berjumlah RM34.9 juta.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.