Berita Harian: Kes demam denggi di Selangor dijangka meningkat 150 peratus
SHAH ALAM: Selangor dijangka berdepan peningkatan kes demam denggi sebanyak 150 peratus pada tahun depan jika masyarakat tidak menangani pembiakan nyamuk Aedes dengan serius, susulan peningkatan tinggi kes ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata peningkatan kes secara mendadak akan berlaku setiap empat ke lima tahun berdasarkan kitaran demam denggi di Malaysia bagi tempoh 20 tahun.
Beliau berkata, Selangor merekodkan kes demam denggi yang tinggi empat tahun lalu iaitu pada 2019 dengan 72,543 kes justeru peningkatan kes dijangka berlaku pada tahun ini atau tahun hadapan.
"Sehingga 11 Februari lalu (minggu epid keenam 2023), sebanyak 6,870 kes direkodkan dengan peningkatan sebanyak 141.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.
"Sebanyak 510 lokaliti wabak denggi juga direkodkan dalam tempoh yang sama yang mana Petaling mencatatkan 203 lokaliti; Hulu Langat (120); Klang (82); Gombak (69); Hulu Selangor (24); Kuala Langat (10) serta masing-masing satu lokaliti di Kuala Selangor dan Sepang.
"Tahun lalu, kes demam denggi yang direkodkan adalah sebanyak 37,545 dan bayangkan (peningkatan kes) jika ia tidak dikawal," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Dr Siti Mariah berkata jumlah kematian yang tinggi juga direkodkan pada 2019 iaitu 56 kematian diikuti 37 pada 2020; dua (2021); 14 (2022) dan dua kematian bagi tahun ini sehingga Januari lalu.
Justeru katanya, dalam usaha mengawal peningkatan kes demam denggi di negeri ini, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaksanakan Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) bermula semalam hingga 22 Mac depan.
Jelasnya, program berkenaan akan memberi fokus kepada empat daerah yang mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Petaling; Hulu Langat; Klang dan Gombak.
"Program ini juga bertujuan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan advokasi masyarakat setempat berhubung demam denggi," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat harus tahu nyamuk Aedes boleh membiak walaupun dalam air sebesar 20 sen dengan nyamuk betina boleh bertelur sehingga 300 biji.
Katanya, telur nyamuk itu akan menetas dalam tempoh seminggu dan sekiranya tiada air, telur nyamuk berkenaan boleh bertahan selama enam bulan.
Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memberi peringatan kepada orang ramai untuk membersihkan persekitaran rumah atau dari menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Sekiranya pada operasi ini kita menemui tempat pembiakan termasuk dalam rumah, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan," katanya.