Berita Harian: Kerajaan Selangor serius bantu sekolah agama persendirian menerusi pemutihan
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor menegaskan, ia bersungguh-sungguh dalam usaha membantu Sekolah Agama Persendirian di negara itu untuk kekal beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, menegaskan kesungguhan itu diteruskan menerusi kerjasama dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian.
"Kerajaan Selangor mengarahkan semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada untuk memulakan proses pemutihan Sekolah Agama Persendirian.
"Semua wakil dan pengusaha Sekolah Agama Persendirian di Selangor sudah dijemput untuk berbincang dan diberi penerangan berkenaan isu berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zawawi menafikan tohmahan kononnya proses pemutihan itu dilaksanakan sebagai langkah menutup institusi berkenaan.
Katanya, tuduhan tidak berasas itu sebaliknya cubaan untuk memburukkan usaha murni kerajaan negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi menjelaskan, setiap PBT negeri itu mempunyai syarat untuk pembukaan Sekolah Agama Persendirian yang berbeza, namun syarat lebih ketat ditetapkan PBT di kawasan bandar berikutan wujud isu kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara serta bunyi.
"Sejak 2021, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mula menetapkan syarat ulasan PBT untuk setiap Sekolah Agama Persendirian membuat pendaftaran akademik.
"Kelonggaran ulasan PBT sudah diberikan kepada Sekolah Agama Persendirian selama dua tahun, namun pada 2023, JAIS mengambil pendirian tegas untuk tidak menerima pendaftaran akademik dari Sekolah Agama Persendirian yang gagal mendapat ulasan PBT," katanya.