Inisiatif

Peristiwa
20/1/23
Selangor
Bantuan

Berita Harian: Kerajaan Selangor salur hampir RM1 juta bantu bekas atlet

SUNGAI BULOH: Hampir RM1 juta sudah dibelanjakan kerajaan Selangor sejak 2020 bagi membantu bekas atlet negeri itu yang memerlukan bantuan menerusi Program Ceria Atlet Selangor.

Sehingga kini kerajaan Selangor memperuntukkan RM789,560 dan mereka sudah pun menyalurkan sebanyak RM199,380 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang turut menjayakan program ini secara bersama.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya berharap lebih ramai bekas atlet kebangsaan tampil sekiranya berdepan masalah terutama daripada segi membaiki kediaman atau barangan perabot.

"Program ini sudah memasuki kali keempat dan kali ini kita memfokuskan kebajikan bekas atlet serta mengumpulkan mereka di kediaman bekas atlet berbasikal, Abd Mutalib Mydin di Kampung Bahagia, Bukit Lagong, Sungai Buloh.

"Dengan bertemakan 'Hargai Jasa Atlet', penganjuran program ini adalah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pencapaian bekas atlet Selangor yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara.

"Sejak bermulanya program ini pada tahun 2020, peruntukan sebanyak RM789,560 sudah disalur bagi merealisasikan objektif program ini.

"Antara bentuk bantuan disalurkan adalah seperti membaikpulih kediaman dan sumbangan barang perabot yang membabitkan seramai hampir 200 bekas atlet," kata Khairuddin kepada media selepas majlis pelancaran Program Ceria Atlet Selangor 2023, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairuddin turut menggesa bekas atlet Selangor yang memerlukan bantuan supaya terus berhubung dengan YAKEB.

"Saya harap mana-mana bekas atlet kita yang membawa nama Selangor dan berdepan masalah geran tanah, atau pekerjaan terus berjumpa YAKEB dan kita akan jumpa bantu (mereka).

"Pelaksanaan program Ceria Atlet Selangor 2023 ini, diharapkan dapat menjadi penanda aras dalam menzahirkan keprihatinan bagi membela kebajikan bekas atlet ini. Seterusnya, jasa dan pengorbanan mereka dalam arena sukan akan terus kekal dihargai oleh kerajaan negeri Selangor," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.