Media

Peristiwa
7/2/24
Selangor

Berita Harian: Kerajaan Selangor berusaha penuhi hasrat Sultan Sharafuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan berusaha keras memenuhi hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar separuh daripada Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri dalam kalangan golongan profesional.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada masa yang sama beliau juga akan cuba menetapkan sasaran awal supaya 50 peratus daripada ahli majlis mempunyai sekurang-kurangnya diploma dan ijazah.

"Daripada situ, mereka mempunyai kerjaya bukan sebagai ahli politik semata-mata tetapi adalah profesional dalam bidang seperti perniagaan, kejuruteraan, pengurusan dan kemahiran ikhtisas yang lain.

"Profesional tidak bermaksud dia tidak berpolitik. Profesional bermaksud mempunyai ijazah, pendidikan dan bekerja dalam bidang tertentu. Itulah yang dimaksudkan dengan profesional.

"Sudah tentu kita akan bermula di Klang. Saya akan memastikan 12 daripada 24 ahli majlis mempunyai sekurang-kurangnya diploma, ijazah dan pendidikan lebih tinggi serta pernah terlibat dalam profesion yang tertentu.

"Di Ampang ada yang profesional seperti jurutera dan (mereka yang) terlibat dalam bidang tertentu," katanya selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Pengerusi MPAJ, Dr Ani Ahmad.

Semalam BH melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar separuh daripada Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri dalam kalangan golongan profesional.

Baginda berpandangan, bukan sahaja ahli politik, golongan profesional yang pakar dalam bidang tertentu juga diperlukan di dalam pembangunan sesebuah bandar.

"Jika boleh beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan ahli majlis.

"Di samping itu, ahli-ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi kaum dan populasi sesuatu kaum yang menetap di Bandaraya Klang agar semua kaum dapat diwakili oleh wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan dengan jumlah sesuatu kaum," titah baginda.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.