Suara

Peristiwa
27/6/24
Selangor
Isu

Berita Harian: Kemurkaan Sultan Selangor gambaran kemarahan, kekecewaan peminat bola sepak terhadap MFL - Amirudin

SHAH ALAM: Titah murka Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah, terhadap keputusan Malaysian Football League (MFL) adalah gambaran kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan Malaysian Football League (MFL) yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, bertimbang rasa serta melampaui batas.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beliau mewakili seluruh pentadbiran kerajaan negeri menjunjung kasih titah murka Sultan Sharafudin itu terhadap MFL berhubung hukuman yang dikenakan Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).

"Keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak negeri, Faisal Halim, adalah satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanah air.

"Sebagai badan mentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut yang bertindak sebagai pengecut.

"Titah Sultan Selangor dizahirkan setelah tindakan MFL yang bukan sahaja mengenakan denda RM100,000 kepada pasukan Selangor FC, tetapi menambah hukuman dengan memaksa perlawanan di Selangor dimainkan tanpa penonton," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan MFL bertindak menambah beban Selangor FC dengan mengenakan denda pemotongan tiga mata pada masa pasukan JDT sudah menerima kemenangan percuma dalam Piala Sumbangsih.

"Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun 'unprecedented' ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa tanggungjawab," katanya.

Justeru itu katanya, mengambil iktibar dan pedoman titah Sultan Selangor, beliau sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor dan kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama memberikan peluang kepada semua pihak termasuk peminat Merah Kuning bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL.

"Maklumat lanjut usaha ini akan dikongsikan dalam masa terdekat oleh pihak Majlis Sukan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor (Mohd Najwan Halili).

"Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.