Berita Harian: Faisal jalani latihan ringan minggu depan - Dr Johan
SHAH ALAM: Bintang skuad kebangsaan yang juga pemain Selangor FC, Faisal Halim sudah mula menjalani sesi fisioterapi bagi memulihkan pergerakan dan fungsi tangan kirinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pemain sayap itu sudah menjalani sesi berkenaan sejak beberapa hari lalu.
"Alhamdulillah Faisal dalam proses pemulihan, luka-lukanya semakin kering... dia juga sudah mula menjalani proses fisioterapi lebih intensif yang boleh menggerakkan tangan kiri. Fokusnya untuk pergerakan penuh tangan kirinya.
"Insya-Allah minggu depan, dia dijangka buat latihan jogging bagi meningkatkan semula tahap kecergasannya.
"Namun, latihan yang akan dilakukan Faisal hanya ringan sahaja memandangkan dia masih lagi dalam proses pemulihan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis penyerahan kutipan Tabung Solidariti bersama Selangor FC di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Mohd Najwan Halimi merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).
Pada 5 Mei lalu, Faisal atau juga dikenali sebagai Mickey melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara.