Berita Harian: ASEAN perlu kesatuan ekonomi lebih kukuh - Anwar
JAKARTA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin ASEAN untuk memberi penekanan kepada penyepaduan ekonomi yang lebih kukuh dalam perkumpulan itu dan berusaha bersungguh-sungguh membangunkan kerangka ekonomi serantau yang dinamik, inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Perdana Menteri berkata, perdagangan sesama ASEAN yang kini hanya berada pada 22.3 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN harus ditingkatkan dan penyusunan strategik yang lebih besar perlu dilakukan untuk meningkatkan penyepaduan pasaran.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia bersedia untuk menyumbang melalui Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang merangkumi langkah-langkah ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan, dan mengukuhkan industri untuk menjadi lebih inovatif, berdaya saing, dan mampu berkembang ke pasaran serantau dan global.
Menurut Perdana Menteri, ASEAN telah mencapai kemajuan sosioekonomi yang belum pernah dicapai sebelum ini, daripada mengurangkan tahap kemiskinan hinggalah kepada meningkatkan perdagangan antara wilayah dan memajukan inovasi teknologi.
Beliau berkata, perkumpulan itu mempunyai gabungan keluaran dalam negara kasar berjumlah hampir AS$3 trilion walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, menjadikan blok itu sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia dan diunjurkan menjadi yang keempat terbesar menjelang 2030.
Menyentuh mengenai "peta standard China edisi 2023", Anwar berkata, Malaysia telah mengeluarkan kenyataannya dengan jelas mengenai pendiriannya.
"Isu di Laut China Selatan mesti diuruskan secara aman dan rasional melalui dialog dan perundingan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982)," katanya.
Mengenai Wawasan Pasca 2025 Komuniti ASEAN, Anwar berkata Wawasan Komuniti ASEAN 2045 menggariskan hala tuju strategik jangka panjang yang jelas untuk kumpulan itu mencapai matlamatnya untuk Komuniti ASEAN yang mampu bertindak balas dengan berkesan kepada cabaran dan peluang semasa dan masa depan.
Beliau menyuarakan harapan agar semua pemimpin boleh bersetuju untuk membenarkan sedikit kelonggaran bagi pelarasan yang perlu dibuat kepada visi itu berdasarkan perkembangan relevan antara sekarang dan penerimaan terakhirnya pada 2025
"Malaysia berterima kasih kepada Indonesia kerana mempengerusikan bersama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi (HLTF) dengan Malaysia pada 2023 serta sokongan dan kerjasama yang sangat baik dalam meneruskan kerja HLTF. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Laos tahun depan," kata Anwar.
Sebagai penyelaras Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), beliau berkata, ASEAN dan GCC telah bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak itu di Arab Saudi pada 20 Oktober ini, sambil menambah bahawa dua dokumen hasil dicadangkan, yang merupakan Pernyataan Bersama mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC (2024-2028).
"Mereka kini sedang dirundingkan oleh pegawai kami. Terdapat cadangan untuk Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-GCC pada 19 Oktober untuk memuktamadkan persiapan bagi sidang kemuncak itu," katanya.
Mengenai penggiliran pengerusi ASEAN, Anwar menyampaikan penghargaan Malaysia kepada Filipina atas kesediaannya untuk menyandang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026, dan menyertai konsensus negara anggota lain meneruskan penggiliran berdasarkan susunan abjad, melainkan diputuskan sebaliknya oleh para pemimpin. - BERNAMA
"ASEAN juga harus memudahkan pergerakan barangan, modal, tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi dalam kalangan negara anggota dan rakan luarnya.
"Kerjasama dengan rakan luar untuk menyumbang ke arah matlamat ini juga perlu dipertingkat," katanya pada sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43, di sini, hari ini.