Inisiatif

Peristiwa
4/11/22
Selangor
Perhimpunan

Berita Harian: Amirudin ingin kembalikan maruah Gombak

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan pencalonannya di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah bersifat peribadi.

Katanya, ini bukan soal siapa lawan siapa, tetapi ia lebih kepada tanggungjawab untuk memulihkan Gombak, mengembalikan maruah dan demi mempertahankan Gombak bersama PH.

"Sejak tahun 2008, Gombak dan Selangor menerima sambutan semangat reformasi yang dibawa sejak tahun 1998 dan selepas bertahun-tahun berjuang, tahun 2018 sambutan diterima, maka terbentuklah kerajaan PH.

"Tetapi malangnya selepas 22 bulan yang mana proses reformasi belum lengkap dilakukan, ada yang mula terbayang untuk mengambil kedudukan.

"Kerana bisikan syaitan dan ketakutan beberapa orang, berlakulah pengkhianatan dan malangnya khianat itu dari orang yang kita pilih di Gombak," katanya pada Himpunan Gombak Bermaruah dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan-P098 Gombak, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pada peringkat awal, beliau tidak bersedia bertanding di Gombak, namun apabila melihat tiada keinsafan atas huru-hara ketidakstabilan yang diwujudkan, tanggungjawab itu perlu dipikul.

"Walaupun sudah ada yang mula mengatakan saya orang luar, saya bukan orang Gombak, hanya dialah orang Gombak sejati dan paling asas, tetapi saya tahu Gombak dan Selangor ini tak akan terpisah dengan jiwa Amirudin Shari.

"Sekali lagi saya menyatakan 'pertarungan' ini bukanlah bersifat keperibadian, tetapi demi mempertahankan perubahan yang sudah dilaksanakan sebelum ini.

"Sebelum ini juga kita telah melalui beberapa episod cabaran dan ketika saya mengambil alih Selangor pada tahun 2018, untuk kali pertama selepas beberapa tahun kerajaan negeri dan Persekutuan berada sealiran sebelum tahun 2020 mengakibatkan ketidakstabilan tumbuh merata," katanya.

Justeru, berdasarkan cabaran dan perubahan yang berjaya dilaksanakan, beliau yakin manifesto dan dasar dibawa PH ini mampu menakluk Putrajaya dengan majoriti yang baik.

"Kita ada barisan pimpinan yang kuat, barisan ahli politik, tokoh korporat, profesional, golongan muda dan wanita, jadi saya yakin mereka ini akan dapat membawa suara hati rakyat dalam Parlimen.

"Kita ada 200,000 pengundi dan kita akan bekerja keras untuk memastikan PH menjadi pilihan rakyat di Gombak dan seluruhnya," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.