Media

Peristiwa
15/9/23
Negara

Berita Harian: Akta Kebebasan Maklumat dipersetujui secara prinsip

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) bersetuju secara prinsip terhadap penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai secara bersama dalam mesyuarat JKKTN dipengerusikannya di Parlimen hari ini yang turut membincangkan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem pentadbiran kerajaan.

"…nescaya tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah," katanya di Facebook malam ini.

Beliau berkata, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan 2022 dan 2023 yang mengemukakan syor-syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

"Kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara selaras hasrat untuk membangunkan Malaysia Madani," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Akta Kebebasan Maklumat yang tertangguh sejak dicadangkan pada 2018, dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat, Oktober depan.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pula memaklumkan, selaras persetujuan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) juga akan dipinda.

"Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan pembabtan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara," katanya.

Dalam pada itu, katanya, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkasa tata kelola perolehan kerajaan secara perundangan, bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak yang terbabit dalam perolehan kerajaan.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya prinsip ketelusan diambil kira dalam RUU Perolehan Kerajaan yang bakal digubal dengan mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya.

Katanya, bagi memastikan anak syarikat yang ditubuhkan di bawah badan berkanun ditadbir dengan lebih profesional berlandaskan prinsip-prinsip tata kelola baik, aspek pengawasan perlu diberi perhatian.

"Mesyuarat bersetuju supaya rangka kerja perundangan sedia ada dan baharu diteliti ke arah pengamalan tata kelola baik dalam kalangan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.