Inisiatif

Peristiwa
29/12/23
Isu
Selangor

Berita Harian: Air Selangor berdepan tunggakan RM30j babit kediaman berstrata

KUALA LUMPUR: Perumahan berstrata, termasuk kuarters kakitangan kerajaan yang terletak di sekitar Lembah Klang, dikesan berdepan tunggakan bil air sehingga mencecah RM30 juta ketika ini, berikutan penggunaan meter pukal yang diguna pakai.

Menerusi penggunaan meter pukal, pemilik atau penghuni kediaman yang terbabit dikenakan bayaran secara prorata yang dikutip Badan Pengurusan Bersama (JMB) premis berkenaan sebelum membayarnya kepada syarikat utiliti air.

Situasi itu menimbulkan masalah kepada JMB apabila ada dalam kalangan penghuni perumahan diuruskan mereka culas membayar kadar ditetapkan, hingga menyebabkan tunggakan bayaran selama bertahun-tahun.

Syarikat utiliti pula berdepan masalah mengutip tunggakan berkenaan kerana sebarang tindakan pemotongan diambil akan menyebabkan penduduk yang selama ini tidak bersalah turut menjadi mangsa.

Dalam kes pernah berlaku sebelum ini, ada operasi pemotongan bekalan terhadap kediaman yang mempunyai tunggakan itu, terpaksa ditangguhkan susulan campur tangan wakil rakyat kawasan menempatkan perumahan berstrata berkenaan.

Perbuatan penghuni tidak bertanggungjawab, culas membayar bil utiliti secara pukal itu menyebabkan pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berdepan tunggakan hampir RM30 juta membabitkan kediaman berstrata di sekitar Lembah Klang setakat 30 Mac tahun ini.

Daripada jumlah itu, 69 peratus tunggakan bil air bersamaan RM20.14 juta direkodkan di Selangor, manakala RM7.59 juta (26 peratus) di Kuala Lumpur, diikuti Putrajaya RM1.46 juta (lima peratus).

Lebih 200,000 kediaman

Ketua Perkhidmatan Bil Pelanggan Air Selangor, Azida Halidin, berkata berdasarkan rekod pihaknya, ada lebih 200,000 unit kediaman berstrata di sekitar Lembah Klang berdepan isu tunggakan bayaran bil air itu.

Beliau berkata, selain perumahan berstrata awam, kuarters kerajaan juga tidak terkecuali daripada mencetuskan masalah tunggakan bil air.

"Kita sukar menentukan siapa sebenarnya yang perlu bertanggungjawab melangsaikan tunggakan bil air di premis berkenaan oleh kerana penjawat awam yang menghuni kuarters terbabit sering bertukar kerana keperluan tugas.

"Ada kuarters kerajaan memiliki tunggakan bil air dengan Air Selangor. Antara yang kita kesan membabitkan kuarters Jabatan Kerja Raya dan balai polis.

"Masalah membabitkan kuarters kerajaan sehingga ada tunggakan bil air biasalah. Kalau kerajaan seperti anggota polis ini, mereka selalu bertukar-tukar (tempat bertugas).

"Justeru, kita tidak dapat pastikan siapa pemilik (penyewa) unit (kuarters kerajaan) itu kerana setiap tahun mereka (penjawat awam yang duduki premis berkenaan) bertukar-tukar. Jadi siapa nak tanggung kos berkenaan? Itu kena tentukan," katanya kepada BH.

Azida berkata, secara keseluruhannya, ketika ini ada 3,050 meter pukal sekitar Lembah Klang.

"Daripada jumlah itu, 1,250 akaun meter pukal belum melaksana program migrasi ke meter individu. Ini membabitkan lebih kurang 203,511 unit merangkumi 71 peratus di Selangor (144,492 unit), Kuala Lumpur (54,947 unit atau 27 peratus) dan dua peratus di Putrajaya (4,070 unit)

"Walaupun 1,800 unit kediaman sudah memohon penukaran meter pukal kepada meter individu, permohonan diterima masih tidak meliputi 100 peratus atau keseluruhan unit," katanya.

Mengulas punca penghuni perumahan berstrata tidak melakukan migrasi dari meter pukal ke meter individu, Azida berkata, kebanyakan unit atau premis sedia ada disewakan pemiliknya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pengurusan kediaman seperti JMB atau Perbadanan Pengurusan (MC) menghadapi kesukaran menghubungi pemilik unit untuk menyertai program migrasi meter.

Katanya, ada juga JMB atau MC menghadapi kekangan kewangan sehingga situasi itu mengganggu urusan penambahbaikan tetiang meter mengikut spesifikasi ditetapkan Air Selangor.

Beliau berkata, kos penambahbaikan meter perlu ditanggung JMB atau MC mengikut Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014.

"Sikap penduduk yang tidak mahu beri kerjasama dengan JMB dan MC turut menyulitkan usaha ini. Selain itu, kekerapan penukaran ahli JMB atau MC itu sendiri apabila proses tindakan tidak didokumentasi sempurna.

"Kita juga dapati sikap sesetengah pemimpin JMB atau MC tidak mengambil inisiatif untuk terbabit dalam migrasi akaun meter pukal kepada akaun bekalan air meter individu," katanya.

Mengenai tindakan lanjut Air Selangor untuk menangani isu tunggakan bil itu, Azida berkata, pihaknya masih memberi peluang bagi JMB atau MC untuk melangsaikan tunggakan melalui jadual pembayaran bulanan.

Sekiranya pihak pengurusan hendak membuat proses migrasi, katanya, Unit Migrasi akan mencadangkan pengagihan tunggakan sama rata kepada semua pemilik petak di pangsapuri berkenaan dengan syarat mengikut spesifikasi tetiang meter Air Selangor.

Penghuni mahu selesa tapi culas bayar yuran

Penghuni mahukan kemudahan selesa, tetapi enggan membayarnya, menjadi punca Badan Pengurusan Bersama (JMB) perumahan berstrata berdepan isu tunggakan bayaran utiliti awam hingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Sehingga kini tidak banyak tindakan mampu diambil JMB terhadap penduduk yang culas, selain daripada memaparkan senarai nama, nombor kediaman serta nilai tunggakan bil pada papan kenyataan.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila sikap acuh tak acuh dan saling tuding menuding mencari salah siapa masih membelenggu komuniti perumahan berstrata, sekali gus menyukarkan usaha menjadi penyelesaian terhadap isu yang timbul.

Situasi itu adalah cabaran dihadapi JMB Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan 1 di ibu kota, yang ketika ini berdepan tunggakan bil air mencecah ratusan ribu ringgit.

Pemangku Pengerusi JMB perumahan itu, Hashim Saad, mengakui buntu mencari jalan bagi lunaskan tunggakan yang semakin bertambah setiap bulan.

Beliau berkata, isu tunggakan itu menyebabkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk memilih jawatankuasa JMB baharu yang sepatutnya berlangsung Jun lalu, terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum dapat ditentukan.

"Isu tunggakan bil air pada perumahan ini belum selesai, bahkan jumlahnya meningkat saban hari.

"Kebanyakan penduduk di sini yang majoritinya warga tempatan sehingga kini tidak mahu memberikan kerjasama untuk membayar yuran penyelenggaraan, walaupun hanya RM50 sebulan.

"Kadar dikenakan itu tidaklah setinggi mana, namun mereka tetap cari bermacam-macam alasan mengelak membayarnya. Macam-macam yang kita sudah lakukan termasuk berbincang dengan mereka, tetapi menemui jalan buntu.

"Bila kami minta mereka untuk bayar yuran berkenaan, mereka cakap tak mahu bayar dan tiba-tiba menuduh kami (JMB) tidak tahu menguruskan menjadi punca tunggakan bil air gagal dilunaskan sehingga kini, " katanya kepada BH.

Pada 20 Mac lalu, perumahan itu pernah berdepan tindakan pemotongan bekalan oleh Air Selangor berikutan tunggakan mencapai RM244,580.65, tetapi ditangguhkan hasil rayuan.

Hashim berkata, pihaknya terpaksa membuat rayuan kepada Air Selangor untuk mendapatkan kemudahan bayaran secara ansuran dalam usaha melunaskan tunggakan.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.