Astro Awani: Sultan Selangor mahu sidang DUN berlangsung tertib
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu suasana perdebatan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan, tanpa dicemari penggunaan bahasa kasar dan tidak sopan serta perangai yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Speaker DUN Selangor yang baharu, Lau Weng San di Istana Bukit Kayangan, di sini, semalam.
Menurut Facebook Selangor Royal Office, pada pertemuan itu, Sultan Selangor bertitah agar Lau meneruskan kesinambungan speaker terdahulu dalam mengendalikan perjalanan sidang dewan dengan adil, lancar dan tidak berat sebelah.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan pujian dan penghargaan kepada speaker-speaker terdahulu daripada parti DAP yang dilantik sejak 2008, yang berjaya mengawal keadaan setiap kali sidang DUN berlangsung.
Lau, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Banting, dilantik sebagai Speaker DUN Selangor berkuat kuasa 19 Sept lepas menggantikan Ng Suee Lim.
-- BERNAMA