Media

Peristiwa
19/3/24
Selangor

Astro Awani: Sultan Selangor berkenan rasmi masjid berusia 77 tahun, berbuka bersama rakyat

SABAK BERNAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Masjid An-Nur di Kampung Sungai Haji Dorani di sini.

Ketibaan baginda pada 6.25 petang yang diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim.

Turut hadir Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Sultan Sharafuddin turut berkenan berbuka puasa bersama rakyat dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 458 penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin dan mualaf bagi daerah Sabak Bernam dengan jumlah keseluruhan RM229,500.

Baginda juga berkenan melafazkan titah perasmian Masjid An Nur sebelum menandatangani plak perasmian bagi menyempurnakan acara itu.

Masjid berusia 77 tahun itu pada asalnya adalah sebuah surau sementara ketika dibina pada sekitar 1947 sebelum diubah suai menjadi masjid oleh penduduk tempatan pada 1949.

Menerusi dana berjumlah RM400,00 disediakan JAIS, kemudahan masjid yang kini boleh memuatkan 550 jemaah dipertingkatkan antaranya pemasangan penyaman udara, mewujudkan bilik mesyuarat dan tempat penyembelihan korban, menaik taraf tempat wuduk wanita serta menambah ruangan parkir bagi memenuhi keperluan semasa.

Sultan Sharafuddin turut menunaikan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawih bersama rakyat.

-- BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.