Media

Peristiwa
13/6/24
Selangor

Astro Awani: SUKMA 2024: Selangor optimis capai kedudukan tiga teratas

SHAH ALAM: Selangor optimis berada di kedudukan tiga teratas dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata Selangor turut meletakkan sasaran memenangi 13 hingga 15 peratus daripada keseluruhan 488 pingat emas yang dipertandingkan.

Beliau berkata Selangor bakal menghantar 1,138 atlet yang akan mengambil bahagian dalam semua 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

"Kita belum mahu mengumumkan secara spesifik sasaran jumlah pingat emas kerana tempoh waktu ke kejohanan sebenar masih panjang.

"Kita yakin boleh perbaiki kutipan pingat yang diraih pada edisi lepas kerana jika berjaya mencapai 10 peratus sasaran sahaja pun, Selangor sudah ada 48 pingat emas, jauh melebihi jumlah 31 pingat emas yang dimenangi pada tahun 2022," katanya kepada Bernama.

Mohamad Nizam berkata senarai akhir atlet yang akan dipertaruhkan bagi membawa panji Merah Kuning pada temasya itu dijangka diumumkan awal bulan depan.

Beliau berkata semua atlet giat melakukan latihan intensif mempersiapkan diri dan perlu memenuhi beberapa aspek yang ditentukan jurulatih termasuk persediaan fizikal dan kecergasan serta mental dan psikologi bagi memastikan benar-benar bersedia sebelum senarai akhir ke Sarawak dimuktamadkan.

"Kita berikan tumpuan kepada beberapa acara yang berpotensi menyumbang pingat emas seperti renang, olahraga, memanah, lawn ball dan menembak.

"Kita yakin dan kita mahu setiap atlet bagi sukan tumpuan itu serta beberapa acara sukan lain, mampu beraksi cemerlang seterusnya menghadiahkan kilauan emas untuk Selangor," katanya.

Pada Sukma 2022 kontinjen Selangor mengakhiri kejohanan di kedudukan ketiga dengan mengumpul 130 pingat keseluruhan, meliputi 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa.

-- BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.