Media

Peristiwa
8/11/23
Selangor

Astro Awani: Sistem e-Tanah diperluas ke Selangor

PUTRAJAYA: Sistem e-Tanah, sistem pengurusan dan pentadbiran tanah bersepadu di negeri-negeri di Semenanjung yang menekankan agenda pendigitalan, telah mula dilaksanakan di Selangor sejak 30 Okt lepas.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang membangunkan Sistem e-Tanah berkenaan dalam kenyataan semalam berkata antara kelebihan sistem itu adalah penggunaan teknologi sesawang yang boleh diakses tanpa sempadan masa dan tempat.

Kelebihan sistem berkenaan juga adalah Kaunter "Single Point of Contact" (SPOC) yang membolehkan semua urusan tanah dilaksanakan pada satu kaunter sahaja berbanding selama ini yang memerlukan orang awam pergi ke banyak kaunter yang berlainan untuk menyelesaikan urusan mereka.

Ia mengandungi sembilan modul utama iaitu Pendaftaran, Hasil, "Consent", Strata, Lelong, Pelupusan Tanah, Pengambilan Tanah, Pembangunan Tanah dan Penguatkuasaan, kata NRECC.

Sistem berkenaan juga berintegrasi dengan sistem di agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia di samping sistem sedia kerajaan negeri seperti Smartbox dan Smart Docket, katanya.

Projek perintis Sistem e-Tanah dilaksanakan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Jun 2017 dan seterusnya diperluaskan ke negeri-negeri lain secara berperingkat.

Antara yang telah mengguna pakai Sistem e-Tanah ialah pentadbiran tanah negeri Perak pada 11 Februari 2021 serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan pada 29 Oktober 2021.

-- BERNAMA


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.